Carian

Apa yang ada?

Nov 8, 2016

Ya Allah, Bantulah Mereka..


Alhamdulillah, masih diberi pinjaman nafas. Ahad yg lepas, tiga hari aku pergi Kem Anak-anak Asnaf under Zakat. Best? Terlalu seronok sebab aku alami tekanan rohani tanpa disedari oleh orang lain. Haha..

Bayangkanlah, adik-adik perempuan ni cuma ada 11 orang. Tapi sikap dan peribadi yg boleh tahan mengundang aku untuk 'masuk' dalam dunia mereka.

Scan background diorang, most of them pernah 'ringan-ringan' dengan lelaki. Dan dalam 3 orang pernah berzina. Allahuakbar.. Aku tak tahu nak react macam mana. Bila baca borang tu mula-mula lepas aku start program, rasa macam dah sakit kepala. Risau, takut, sedih semua ada.

Perlahan-lahan mood aku berubah. Dari datar, aku ubah mood cool+steady+ceria+supporting+senyum sehabis boleh untuk diorang. Demi diorang. Aku taknak diorang tension bila balik program. Sebab aku tahu, life diorang dekat luar sana sangat tough..

Sorang daripada adik-adik perempuan ni, sangat sukar untuk difahami. Background dia, merisaukan aku jugak. Pernah ringan-ringan dengan adik-beradik. Masa program, dialah yg paling kecoh. Jerit-jerit tu biasa. Mata liar usha semua lelaki. Pelik ye macam mana aku tahu? Sebab semua fasilitator spot dia. Highlight dia.

Aku cuba tenang hadap dia. Tiap kali dia menjawab, aku senyum. Hari kedua aku naik dorm diorang pukul 5 pagi nak kejut qiamullail. Sah yg lain tak bangun lagi. Tapi dia dah bangun. Ke memang tak tidur, tak tahulah..

Sementara aku tunggu budak-budak ni siap, aku duduk dekat sofa. Dia datang duduk dekat sebelah. Ayat dia yg aku tak boleh lupa dia kata, "Saya malas nak solatlah kak. Saya taknak solat. Kalau saya malas nak solat, akak nak buat apa ye?"

MasyaAllah. Sungguh dia menduga aku. Aku gelak. Walaupun aku tahu sangat hambar. Spontan aku cakap, "Terpulang awak. Akak nak sangat tanggung dosa awak, tapi tak boleh dik. Akak tunggu dekat bawah ye.." sambil usap kepala dia. Muka dia terkejut. Aku lagilah terkejut dengan apa yg aku cakap. Dan aku terus keluar, sebelum banjir dorm tu dengan air mata aku... 😂

Guest what? Dia turun jugak solat. Sebelah aku pulak tu. Alhamdulillah... Biarlah sebab terpaksa, tapi aku nak dia ingat sakitnya beribadah secara terpaksa ni sampai bila-bila. Dia yg pilih cara tu.. 😊

Malam tu pulak aku dengan fasilitator perempuan yg lain jenguk diorang sebelum tidur. Dan niat aku nak jumpa dia secara personal. Memang aku dapat borak berdua dengan dia. Banyak benda aku psiko, dia jawab sepatah-sepatah je. Okay aku faham.. Tak semua benda kita boleh share dengan strangers. Aku cuba tundukkan hati, bercakap seolah dia adik aku. Hingga akhirnya dia masih palingkan muka, tak menghadap aku langsung. Jawab nak tak nak. Aku cuma dapat cakap dengan belakang kepala dia..

Akhir program sesi salam jama'ie, turn dia salam dan peluk aku. Tu pun aku yg paksa tarik kot. Aku bisik dekat dia, aku mintak maaf atas semua salah aku. Mata dia merah, dia senyum nipis. Dia mintak maaf sebab kurang ajar dengan aku sepanjang program. Dalam hati ni dah menangis. Aku percaya, Allah akan lembutkan hati dia satu hari nanti..

Dah balik rumah....
Aku terima personal whatsapp dari dia. Jujur aku sangat-sangat terkejut dan rasa sangat berdebar. Aku baca je dia typing banyak-banyak. Tanpa aku jangka, dia luahkan semua.

Dia yg pernah berzina banyak kali, dengan lelaki yg berbeza. Dia kurang ajar dengan mak ayah, guru-guru. Lari rumah pun banyak kali dah. Semua dia luahkan. Dia malu nak cerita berhadapan dengan aku. Sebab rujukan dia sebelum ni, semuanya akan ceramah dia panjang berjela sebelum tanya kenapa dia teruk macam ni. Apa sebabnya diorang tak tanya, tapi lantang menyalahkan.

Sungguh aku menangis.. Aku faham perasaan dia yg rasa berdosa, ditambah dengan rasa dibuang keluarga. Allah.. Panjang lagi kehidupan awak dik. Tapi awak dah kena hadapi semua ni diusia 16 tahun.

Setakat ni dia dah stop jumpa lelaki-lelaki yg akan ajak dia buat benda terlarang tu. Dia tengah nak cuba cakap lembut-lembut dengan mak ayah dia. Dia cuba balik rumah selewatnya pukul 12 pagi. Dia cuba solat walaupun dengan niat terpaksa.. 😭

Buatlah semua tu dengan terpaksa dik.. Akak harap awak akan faham semua ni satu hari nanti. Akak harap awak akan keluar dari dunia gelap awak jugak walau susah.. Siapapun awak dimasa lalu, akak ada untuk tengok awak bentuk masa depan..

Sekarang ni diorang yg aku rasa penuh dengan masalah kehidupan, hidup dalam dunia gelap, dibuang keluarga, punyai jiwa yg sangat lembut. Dioranglah yg saban waktu ganggu hidup aku sekarang ni. Huhu.. Aku tahu diorang perlukan sokongan, kasih sayang.

Duhai masyarakat, pandanglah mereka. Pedulilah perasaan mereka. Mereka perlukan perhatian dan sokongan untuk berubah, bukan makian dan hinaan. Mereka juga layak diberi peluang berubah.. 

Oct 12, 2016

Sesungguhnya Allah Itu Dekat

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Jasad dan ruh sihat?

Alhamdulillah. Allah masih pinjamkan nikmat nafas ni. Masih disini, menaip di skrin phone untuk update blog! Hargai anda yang rajin email tanya perkembangan diri. SubhanAllah. Tak terkata kot sebab terlalu banyak perkara yang Allah beri sebagai didikan selama menyepi ni. Tak kemana pun. I'm here. Always here in Klang.

Ada beberapa perkara yang aku nak sentuh. Related beberapa isu yang mengganggu fikiran. Sedang khusyuk selak buku Espoir - Doamu Mendekatkan PertolonganNya karya Fatimah Syarha dan suaminya, mata memanah di laman 11 buku itu.

Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad dan bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah Tuhan kita itu jauh sehingga kita menyerunya, atau Dia dekat sehingga kita cukup berbisik kepadanya?"

Terpaku pada bait kalam Allah yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka), 'Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." [Surah Al-Baqarah : 186]

SubhanAllah. Soalan simple tapi jawapan Allah sangat padat. Tiba-tiba air mata ni mengalir taknak stop. Aku sedar beberapa minggu ni sangat tough. Eh. Memang tak pernah Allah tak uji beb.

Tapi aku rasa, bulan ni aku lost sungguh. Walaupun aku senyum, tegur orang macam biasa, tapi hati aku sentiasa dalam kerisauan.

1) Adik mujahidahku couple dan tiap hari balik sekolah berpegangan tangan dengan bf dia
2) Sahabat rapat aku di pusat pemulihan kerana kesalahan berkhalwat
3) Sahabat aku terjatuh hati pada seorang lelaki lain sebab tak bahagia dari awal perkahwinan dengan suami. Aku faham dia. Sangat faham rasa tu. Tapi aku harap dia perbetulkan semua ini.
4) Adik perempuan yang aku kenal rapat dulu mengandung diluar nikah. Dipaksa mengahwini lelaki syaitan yang merogolnya. 😭

Allah Allah Allah. Sungguh agama ini umpama barang dagangan. Kalian juga sedang bergadaian dengan Allah, menutupi malu kalian dengan syiar agama yang kalian bawa, tetap juga Allah mahu buka cerita yang kalian sorok dari masyarakat.

Sampai terduduk aku tanyakan pada diri sendiri. Ini salah aku yang tak mampu jadi sahabat yang baik. Apa yang kau nak buat der? Apa yang kau boleh tolong? Do something please..

Dan akhirnya aku disini, merasa berdosa kerana segala apa yang aku lakukan serasa tak berhasil. Nasihat sudah, menangis merayu sudah, mendoakan pastinya aku buat. Apabila Allah menegur dengan kalamNya, aku sedar ini ujian buatku jua. Kita tak tahu apa yang mereka sedang depani. Dan kita disekeliling mereka mohonlah kuat untuk beri kekuatan.

Aku tak gagal kan? Sebab aturan itu pada Allah.. Dia yang akan bantu. Dia yang beri masalah, maka pada Dia jalan penyelesaian. Sudahlah memeningkan kepala sendiri. Doa selepas kau berusaha memperbetulkan semua ini..

Buat kalian sahabat2ku, aku tak pernah salahkan kalian atas apa yang jadi. Ujian keimanan kalian, bermakna Allah ingin uji aku juga sebagai insan yang akrab dengan kalian. Sungguh aku tak kuat, apatah lagi kalian yang depaninya. Penat macam mana pun aku fikir kenapa semua ni terjadi, hakikatnya Allah yang mahu ia berlaku. Pulanglah kembali pada Allah. Kalian ada Allah yang sentiasa menyayangi... 

Apr 23, 2016

Perhati dan Kenal Hikmah!


Tengahari tadi lepas dating dengan adik-adik, terus beli barang dekat Klang. Mula-mula tak lapar pun, tapi disebabkan nak study pengisian untuk usrah seterusnya, pergilah makan dulu dekat sebuah restoran sambil tunggu waktu Zohor.

Tengah khusyuk makan, aku tertarik dengan tiga orang gadis comel di meja sebelah. Mungkin lingkungan umur mereka diperingkat sekolah rendah. Rancak berbual bersama ibu mereka.

"Kakak nampak dengan mata ni sendiri, papa main mata dengan perempuan tu." Dengus si gadis yang aku kira lebih besar dari adiknya yang lain.

Ibunya hanya tergelak kecil. Entah lucu dengan gaya percakapan anaknya atau isi bualan tersebut.

"Betul ma.. Bayangkanlah, weekend lepas kata nak bawak kitorang pergi holiday, rupanya pergi Cameron Highland dengan betina tu."

Aku cuba pekakkan telinga dan fokus pada Kuey Teow Tomyam depan mata. Tapi serius tak boleh! Jarak meja kami hanya dipisahkan oleh sebuah kerusi. Sangat rapat. Dan suara si gadis petah itu bagaikan mahu mengadu pada seisi pelanggan restoran.

Mencari-cari earphone di dalam beg. Tak jumpa (aku tak bawaklah maknanya). Aduduh...

"Mesti dia lagi cantik dari mama kan?" Soal si ibu. Aku lihat dia mengerling aku yang nampak tak keruan. 

Memang patutlah tak keruan. Aku baca buku sorang-sorang, lepas tu makan sorang-sorang. Pulak tu memang aku rasa dia tahu aku dengar dengan jelas. Aku hanya balas dengan senyuman nipis.

"Nooo.. mama lagi cantik dari dia. Macam bidadari.." anaknya yang paling kecil membeli jiwa si ibu. Dari tadi aku lihat dia susah payah makan Chicken Chop sendiri. Comel sungguh gayanya.

"Memang mama lagi cantik pun. Lepas tu kan ma, haritu kakak mintak papa duit tuisyen. Papa kata, papa tak ada duit. Bukan macam mama, gaji besar bla bla bla.." memang sedaya upaya aku fokus makan. Tak dengar apa lagi yang si kakak bebelkan. Penuh semangat sungguh dia bercerita.

"Tak apalah kak kalau itu yang papa fikir. Mama tak kisah pun duit dia, yang penting kakak dengan adik-adik sihat.."

Aku angkat kepala bila dengar suara si ibu yang bergetar. Jujur sebak kot! Aku jenis yang sentimental banyak bab-bab ni.

Dia pandang aku dan senyum. Serba salah nak balas bila lihat ada air jernih yang bertakung dimatanya.

"Sorang je dik?" Soalnya. Aku mengangguk.

"A'ah.." tersengih kelat. Tomyam dihadapan mata berbaki separuh.

"Macam ni la hidup selepas bercerai dik. Dia jumpa anak-anak pun sebulan sekali. Kita mengharapkan dia jaga anak-anak dengan baik, tapi macam tulah.. Nak tak nak je gayanya.." luahnya tanpa aku pinta. Jujur, telinga dan jiwa ini bagaikan tak mahu berada di situ. Tetapi mungkin Allah mahu aku tahu sesuatu.

Aku diam menanti kebarangkalian jika dia masih mahu melanjutkan cerita. Tidak menunjukkan reaksi mahu mendengar ataupun tidak mahu mendengar.

"Adik dah kahwin?" soalan cepumas yang berjaya buat tomyam yang enak meletup di kerongkong. Pedas beb. Entahkan soalannya atau tomyam ni yang pedas!

"Belum kak.." jawab ringkas setelah menyedut perlahan Nescafe Ice.

"Bila dah kahwin nanti, fikirkanlah anak-anak kalau ada apa-apa masalah. Memang kadang-kadang banyak sangat benda yang tak sehaluan dengan suami, tapi cuba bawak berbincang. Macam akak ni, dah tak guna lagi bila akak sendiri yang ambil keputusan untuk bercerai. Dia ada orang lain yang lebih baik daripada akak. Anak-anak pun dia tak minat sangat nak jaga. Cuma sebulan ni je akak tinggalkan diorang dengan dia, macam-macam pulak halnya.."

Aku terangguk-angguk. Rasa simpati tumpah buatnya, bahkan mungkin orang lain lebih perit lagi pengalamannya daripada ini.

"Saya mungkin tak tahu kisah hidup akak. Tapi akak beruntung kan, anak-anak semua nampak matang dan pandai bawa diri." Tak tahu nak respon apa yang memberi nilai positif. Tiga orang anak daranya tersengih-sengih. Tahu aku memuji mereka.

"Alhamdulillah.. dengan kurniaan (anak-anak) ni pun dia masih tak bersyukur. Seronok sangat nak enjoy.." Wajahnya tampak kecewa, kesal, sedih dan penuh rasa yang berbaur.

Krisis dalam rumahtangga selalunya mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada kemuncaknya. Dalam jangka masa yang sama ini dapat dilihat tahap demi tahap berlaku dan suasana menjadi semakin genting jika salah satu pihak atau keduanya tidak mengambil sesuatu inisiatif untuk membendungnya. Anak-anak adalah risiko segala tindakan yang diambil.

Memang banyak lagi perkara yang dia kongsikan. Pada asasnya aku bukanlah seorang yang gemar untuk mendengar masalah rumahtangga orang lain, lagipula orang yang aku tak kenali. Tetapi apabila memikirkan hikmah yang Allah mahu aku singkapi, memungkinkan diri menjadi pendengar yang baik buatnya. Aku yakin, dia bukanlah mahu membuka aib kehidupannya sendiri, tetapi dia juga perlukan sesorang untuk mendengar segala luahan yang lama dipendam.

Di akhir pertemuan kami, sempat anaknya yang paling kecil membelek-belek tudung yang aku pakai. Tergelak tengok aksinya.

"Dah besar nanti jadi anak solehah macam kakak tau.." pesannya pada mereka. Aku hanya tersenyum kelat. Menggeleng tidak, mengiyakan pun tidak. Solehah ke diri ini? Nampaknya banyak proses kenakalan yang perlu mereka tempuhi!

Pertemuan singkat ini, jujur memberi nilai yang besar buat diriku. Kakak itu menjadi wasilah buat perkara yang sedang aku fikirkan.

Dari Abi Hurairah r.a.; Katanya, Nabi s.a.w. bersabda ,
    
        “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat, maka apabila ia menyaksikan sesuatu peristiwa, hendaklah ia menanggapi dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannya yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok kerana ia bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Kenal hikmah, Shahidah!