Carian

Apa yang ada?

Showing posts with label Nota Hati. Show all posts
Showing posts with label Nota Hati. Show all posts

Sep 23, 2019

Komunikasi Berkesan Dalam Rumahtangga 💖



Benar. Komunikasi sangat penting dalam perhubungan. Ini bukan sahaja fokus utk rumahtangga, bahkan hubungan dgn sahabat2, keluarga dll.

Musim sahabat2 kahwin ni, ada yg tanya macam mana nak bina komunikasi berkesan dgn pasangan. Rasa tak layak sungguh nak jawab. Usia perkahwinan baru fasa pertama. Tapi cuba juga menjawab persoalan sahabat2.

Dalam rumahtangga, amalkan konsep memberi dan menerima. Lagi2 bila sharing moment. Jgn kita syok sendiri memonopoli keadaan.

✅ Duduk menghadap si dia yg bercakap. Eye contact penting.
✅ Jadi pendengar yg baik. Bila waktunya patut dengar, dengar shj.
✅ Beri respon selepas itu. Lisan atau bukan lisan. Ikut situasi.
✅ Tanya soalan bila perlu.

Tapi Shida ni sejenis yg kadangkala taknak dipersoal atau diberi solusi. Memang akan cakap awal2, "Nak awak dengar je ye. Taknak direspon pun.." Yg ni pasangan memang kena redha. 😂

Kalau ada masalah apa2 yg terlalu berat rasa bebanannya, elakkan berdiam diri. Bukan tak pernah kita simpan sendiri, lagi2 soal kerahsiaan dgn sahabat2 kan. Tapi lebih baik bagitahu dia, kita ada masalah sekian2 yg tak boleh dijelaskan secara details. Dia akan faham dgn penjelasan mudah tersebut.

Berbeza jantina, berbeza hati dan perasaan. Ada yg kita rasa berat, pasangan rasa ianya perkara mudah. Begitu juga sebaliknya. Sebab itu penting sangat2 komunikasi dalam perhubungan.

Jangan terus berputus asa dgn ujian. Pasti ada. Tak boleh lari dari hakikat takdir Allah itu pun. Cuma.. doa saban waktu dipermudahkan, diberi keputusan terbaik tika diuji soal komunikasi.

Allah yg Maha Mendengar.
Allah yg Maha Memberi Pertolongan.

Pasangan kita hanya wasilah. Hasil komunikasi berkesan masing2 bila solusinya Lillah. 😊

Moga dipermudahkan semua urusan kalian. Selamat bercinta sampai syurga.. 💖

#BaitulHaraki
#TerusBelajar
#MemaknaiKehidupan

Jan 30, 2017

TAKUT



Bismillah. Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, Allah masih izin untuk menaip di blog ini. Entah kenapa, bila tak keruan pasti aku cari blog ini untuk diluah segala rasa. Bukan aku tidak mengutamakan Allah dalam tiap urusan, tetapi menulis sudah sebati dengan jiwa ini. Syukur, Dia juga yang meminjam rasa ini.

Allah, lemahnya aku tika ini. Satu persatu ujian, aku tahu Engkau mahu aku kuat. Aku sedar itu wadah tarbiyyahMu Robb. Tapi makin kau uji, makin aku takut. Aku takut nak lalui semua ni. Aku tahu aku adaMu, tapi sekelilingku manusia yang penuh sandiwara. Aku takut untuk meletakkan rasa percaya pada orang lain selainMu.

Dulu pernah aku ada rasa ini. Hingga tak mahu keluar dari rumah sendiri. Hatta bilik menjadi dunia aku. Payah aku keluar dari dunia tu. Lihat awan, lihat bumi. Akhirnya aku keluar dari dunia tu. Sakit ya Allah.. Sakitnya mujahadah itu.

Tika ini... rasa takut yang dulu muncul lagi. Aku tak nak laluinya untuk yang kedua kali. Mereka ganggu aku lagi. Kenapa? Apa yang mereka nak? Aku tak ada apa lagi untuk dicagarkan. Yang ada hanya iman di jiwa yang aku bina segala semangat, kekuatan bersandar pada sedikit ilmu. Aku pertahankan ia ya Allah. Aku takut untuk lalui detik hitam itu berkali-kali.

Pinjamkan aku kekuatanMu Ilahi. Agar aku lupa rasa takut ini..

Wahai anda yang masih mengganggu, ketahuilah aku dah maafkan semua salah kau. Aku tak nak simpan rasa dendam ni dan bawa mati. Aku tak nak kita jumpa diakhirat kelak untuk uruskan semua urusan dunia ini. Untuk itu, aku maafkan semuanya... Tolonglah jangan ganggu aku lagi..

Oct 12, 2016

Sesungguhnya Allah Itu Dekat

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Jasad dan ruh sihat?

Alhamdulillah. Allah masih pinjamkan nikmat nafas ni. Masih disini, menaip di skrin phone untuk update blog! Hargai anda yang rajin email tanya perkembangan diri. SubhanAllah. Tak terkata kot sebab terlalu banyak perkara yang Allah beri sebagai didikan selama menyepi ni. Tak kemana pun. I'm here. Always here in Klang.

Ada beberapa perkara yang aku nak sentuh. Related beberapa isu yang mengganggu fikiran. Sedang khusyuk selak buku Espoir - Doamu Mendekatkan PertolonganNya karya Fatimah Syarha dan suaminya, mata memanah di laman 11 buku itu.

Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad dan bertanya, "Wahai Rasulullah, adakah Tuhan kita itu jauh sehingga kita menyerunya, atau Dia dekat sehingga kita cukup berbisik kepadanya?"

Terpaku pada bait kalam Allah yang bermaksud : "Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka), 'Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahku), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." [Surah Al-Baqarah : 186]

SubhanAllah. Soalan simple tapi jawapan Allah sangat padat. Tiba-tiba air mata ni mengalir taknak stop. Aku sedar beberapa minggu ni sangat tough. Eh. Memang tak pernah Allah tak uji beb.

Tapi aku rasa, bulan ni aku lost sungguh. Walaupun aku senyum, tegur orang macam biasa, tapi hati aku sentiasa dalam kerisauan.

1) Adik mujahidahku couple dan tiap hari balik sekolah berpegangan tangan dengan bf dia
2) Sahabat rapat aku di pusat pemulihan kerana kesalahan berkhalwat
3) Sahabat aku terjatuh hati pada seorang lelaki lain sebab tak bahagia dari awal perkahwinan dengan suami. Aku faham dia. Sangat faham rasa tu. Tapi aku harap dia perbetulkan semua ini.
4) Adik perempuan yang aku kenal rapat dulu mengandung diluar nikah. Dipaksa mengahwini lelaki syaitan yang merogolnya. 😭

Allah Allah Allah. Sungguh agama ini umpama barang dagangan. Kalian juga sedang bergadaian dengan Allah, menutupi malu kalian dengan syiar agama yang kalian bawa, tetap juga Allah mahu buka cerita yang kalian sorok dari masyarakat.

Sampai terduduk aku tanyakan pada diri sendiri. Ini salah aku yang tak mampu jadi sahabat yang baik. Apa yang kau nak buat der? Apa yang kau boleh tolong? Do something please..

Dan akhirnya aku disini, merasa berdosa kerana segala apa yang aku lakukan serasa tak berhasil. Nasihat sudah, menangis merayu sudah, mendoakan pastinya aku buat. Apabila Allah menegur dengan kalamNya, aku sedar ini ujian buatku jua. Kita tak tahu apa yang mereka sedang depani. Dan kita disekeliling mereka mohonlah kuat untuk beri kekuatan.

Aku tak gagal kan? Sebab aturan itu pada Allah.. Dia yang akan bantu. Dia yang beri masalah, maka pada Dia jalan penyelesaian. Sudahlah memeningkan kepala sendiri. Doa selepas kau berusaha memperbetulkan semua ini..

Buat kalian sahabat2ku, aku tak pernah salahkan kalian atas apa yang jadi. Ujian keimanan kalian, bermakna Allah ingin uji aku juga sebagai insan yang akrab dengan kalian. Sungguh aku tak kuat, apatah lagi kalian yang depaninya. Penat macam mana pun aku fikir kenapa semua ni terjadi, hakikatnya Allah yang mahu ia berlaku. Pulanglah kembali pada Allah. Kalian ada Allah yang sentiasa menyayangi... 

Apr 23, 2016

Perhati dan Kenal Hikmah!


Tengahari tadi lepas dating dengan adik-adik, terus beli barang dekat Klang. Mula-mula tak lapar pun, tapi disebabkan nak study pengisian untuk usrah seterusnya, pergilah makan dulu dekat sebuah restoran sambil tunggu waktu Zohor.

Tengah khusyuk makan, aku tertarik dengan tiga orang gadis comel di meja sebelah. Mungkin lingkungan umur mereka diperingkat sekolah rendah. Rancak berbual bersama ibu mereka.

"Kakak nampak dengan mata ni sendiri, papa main mata dengan perempuan tu." Dengus si gadis yang aku kira lebih besar dari adiknya yang lain.

Ibunya hanya tergelak kecil. Entah lucu dengan gaya percakapan anaknya atau isi bualan tersebut.

"Betul ma.. Bayangkanlah, weekend lepas kata nak bawak kitorang pergi holiday, rupanya pergi Cameron Highland dengan betina tu."

Aku cuba pekakkan telinga dan fokus pada Kuey Teow Tomyam depan mata. Tapi serius tak boleh! Jarak meja kami hanya dipisahkan oleh sebuah kerusi. Sangat rapat. Dan suara si gadis petah itu bagaikan mahu mengadu pada seisi pelanggan restoran.

Mencari-cari earphone di dalam beg. Tak jumpa (aku tak bawaklah maknanya). Aduduh...

"Mesti dia lagi cantik dari mama kan?" Soal si ibu. Aku lihat dia mengerling aku yang nampak tak keruan. 

Memang patutlah tak keruan. Aku baca buku sorang-sorang, lepas tu makan sorang-sorang. Pulak tu memang aku rasa dia tahu aku dengar dengan jelas. Aku hanya balas dengan senyuman nipis.

"Nooo.. mama lagi cantik dari dia. Macam bidadari.." anaknya yang paling kecil membeli jiwa si ibu. Dari tadi aku lihat dia susah payah makan Chicken Chop sendiri. Comel sungguh gayanya.

"Memang mama lagi cantik pun. Lepas tu kan ma, haritu kakak mintak papa duit tuisyen. Papa kata, papa tak ada duit. Bukan macam mama, gaji besar bla bla bla.." memang sedaya upaya aku fokus makan. Tak dengar apa lagi yang si kakak bebelkan. Penuh semangat sungguh dia bercerita.

"Tak apalah kak kalau itu yang papa fikir. Mama tak kisah pun duit dia, yang penting kakak dengan adik-adik sihat.."

Aku angkat kepala bila dengar suara si ibu yang bergetar. Jujur sebak kot! Aku jenis yang sentimental banyak bab-bab ni.

Dia pandang aku dan senyum. Serba salah nak balas bila lihat ada air jernih yang bertakung dimatanya.

"Sorang je dik?" Soalnya. Aku mengangguk.

"A'ah.." tersengih kelat. Tomyam dihadapan mata berbaki separuh.

"Macam ni la hidup selepas bercerai dik. Dia jumpa anak-anak pun sebulan sekali. Kita mengharapkan dia jaga anak-anak dengan baik, tapi macam tulah.. Nak tak nak je gayanya.." luahnya tanpa aku pinta. Jujur, telinga dan jiwa ini bagaikan tak mahu berada di situ. Tetapi mungkin Allah mahu aku tahu sesuatu.

Aku diam menanti kebarangkalian jika dia masih mahu melanjutkan cerita. Tidak menunjukkan reaksi mahu mendengar ataupun tidak mahu mendengar.

"Adik dah kahwin?" soalan cepumas yang berjaya buat tomyam yang enak meletup di kerongkong. Pedas beb. Entahkan soalannya atau tomyam ni yang pedas!

"Belum kak.." jawab ringkas setelah menyedut perlahan Nescafe Ice.

"Bila dah kahwin nanti, fikirkanlah anak-anak kalau ada apa-apa masalah. Memang kadang-kadang banyak sangat benda yang tak sehaluan dengan suami, tapi cuba bawak berbincang. Macam akak ni, dah tak guna lagi bila akak sendiri yang ambil keputusan untuk bercerai. Dia ada orang lain yang lebih baik daripada akak. Anak-anak pun dia tak minat sangat nak jaga. Cuma sebulan ni je akak tinggalkan diorang dengan dia, macam-macam pulak halnya.."

Aku terangguk-angguk. Rasa simpati tumpah buatnya, bahkan mungkin orang lain lebih perit lagi pengalamannya daripada ini.

"Saya mungkin tak tahu kisah hidup akak. Tapi akak beruntung kan, anak-anak semua nampak matang dan pandai bawa diri." Tak tahu nak respon apa yang memberi nilai positif. Tiga orang anak daranya tersengih-sengih. Tahu aku memuji mereka.

"Alhamdulillah.. dengan kurniaan (anak-anak) ni pun dia masih tak bersyukur. Seronok sangat nak enjoy.." Wajahnya tampak kecewa, kesal, sedih dan penuh rasa yang berbaur.

Krisis dalam rumahtangga selalunya mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada kemuncaknya. Dalam jangka masa yang sama ini dapat dilihat tahap demi tahap berlaku dan suasana menjadi semakin genting jika salah satu pihak atau keduanya tidak mengambil sesuatu inisiatif untuk membendungnya. Anak-anak adalah risiko segala tindakan yang diambil.

Memang banyak lagi perkara yang dia kongsikan. Pada asasnya aku bukanlah seorang yang gemar untuk mendengar masalah rumahtangga orang lain, lagipula orang yang aku tak kenali. Tetapi apabila memikirkan hikmah yang Allah mahu aku singkapi, memungkinkan diri menjadi pendengar yang baik buatnya. Aku yakin, dia bukanlah mahu membuka aib kehidupannya sendiri, tetapi dia juga perlukan sesorang untuk mendengar segala luahan yang lama dipendam.

Di akhir pertemuan kami, sempat anaknya yang paling kecil membelek-belek tudung yang aku pakai. Tergelak tengok aksinya.

"Dah besar nanti jadi anak solehah macam kakak tau.." pesannya pada mereka. Aku hanya tersenyum kelat. Menggeleng tidak, mengiyakan pun tidak. Solehah ke diri ini? Nampaknya banyak proses kenakalan yang perlu mereka tempuhi!

Pertemuan singkat ini, jujur memberi nilai yang besar buat diriku. Kakak itu menjadi wasilah buat perkara yang sedang aku fikirkan.

Dari Abi Hurairah r.a.; Katanya, Nabi s.a.w. bersabda ,
    
        “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat, maka apabila ia menyaksikan sesuatu peristiwa, hendaklah ia menanggapi dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannya yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok kerana ia bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Kenal hikmah, Shahidah!

Apr 22, 2016

Hadiah Kecil Dari Si Kecil



**Semalam** 

Disebabkan rotan milik aku dah selamat anak-anak buah patahkan, ambil benda ni di tangan Abang Fahim yang khusyuk membaca Iqra'. Dan sengaja buat pukul tangan seorang anak buah sebab berpuluh kali salah bacaan.


Tiba-tiba rasa benda ni unik dan kreatif. Anak-anak buah gunakan sebagai penanda dan penunjuk bacaan semasa mengaji.

“Abang, berapa ringgit ni? Comel laa..”

“Dekat sekolah 80 sen. Kita beli dekat kawan kita 50 sen. Murah je..”

Tersengih jahat. “Acik nak boleh? Belikan acik, bang. Abang kaya kan?” Haha. Bertuah punya makcik.

“Boleh.. nak warna apa?”

“Kalau boleh, acik nak yang ada warna purple. Kalau tak ada, warna hijau. Kalau tak ada jugak, warna merah.” Amboi demand!

“Kalau tak ada jugak?” soal dia polos.

“Kuning pun bolehlah. Tak kisah..”

Dia terangguk-angguk. MasyaAllah.. bahagianya rasa ada anak buah sebaik dan secomel dia! :p

**Hari ini**

Terkejut ada lembaga kecil yang memeluk bahu daripada belakang. Pusingkan badan.

“Nah.” Dia sengih dan hulurkan sebatang lidi yang sudah dikait cantik. Terharu.

“Terima kasih abang..” 

Tapi rupanya bukan dia sorang yang hadiahkan benda ni. Lagi dan lagi aku dapat daripada anak-anak buah yang lain. Serius terharu!

“Kenapa belikan acik semua ni? Banyaknya.. acik cakap dengan Abang Fahim je semalam.”

“Fahim cakap, semua kena hadiahkan untuk acik jugak.” Jawab Sofea.
 
Aku hanya mampu senyum dan gelengkan kepala tak faham dengan ragam mereka. Akhirnya, satu aku berikan pada Hanan dan empat-empat tu aku guna untuk pukul tangan diorang bila salah bacaan! Bermanfaat kan? :p

***

Hadiah. Selalu Allah berikan kita dalam tiap perkara yang tak terjangka. Adakalanya Dia uji kita dengan pelbagai mehnah, sedang rupanya ada hikmah dan nusrah yang mahu Dia tunjuk. Nikmat yang Dia beri, bukannya sedikit. Umpama lidi ini, aku minta satu pada Fahim. Tapi aku dapat empat daripada yang lain. Sama jugak dengan pengharapan kita pada Allah. Kita meminta sedikit, tetapi banyak yang Dia berikan. Apatah lagi jika kita minta banyak dengan sungguh-sungguh!

Pernah dulu seorang guru pesan pada aku, “Jangan malu nak meminta pada Allah sungguh-sungguh. Jangan beratkan tangan tu untuk tadahkan pengharapan pada Dia. Tapi malulah andai langsung tak minta, langsung tak persembahkan permintaan. Sedangkan bila kita tak minta pun Dia beri..”

Allah. Malulah padaNya diatas segala nikmat yang dihadiahkan.

Dia hadiahkan rezeki, jarang-jarang kita memberi.
Dia hadiahkan nikmat nafas, jarang-jarang kita syukuri.
Dia hadiahkan kesihatan, tetapi kita hanya ingat diwaktu sakit.
Dia hadiahkan kemaafan, berulang-kali kita lakukan kesalahan.
Dia hadiahkan harapan, tetapi justru kita memilih keputus-asaan.

Ketika mengingatkatkan semua hal itu, malulah pada Allah..

Jan 26, 2016

La Tahzan!



Ya Allah… aku dah terlalu penat.. sangat penat.. Tapi aku kena kuat! Putus asa bukan sikap orang mukmin!

Apa yang dia nak buat ni? Tak nak bagi aku keluar belajar, kerja?

Aku nak jadi orang biasa…. Nak hidup macam biasa.. tolonglah..

Maafkan segala dosaku ya Allah…

Dec 26, 2015

Kerana Ketaatan




“Mak, kakak nak sambung belajar boleh? Lepas kerja ni, kakak nak mohon belajar. Kakak rindu sangat nak belajar macam biasa..” Senyum meminta keizinan juga pendapat.

“Tak payahlah kak, jauh dengan mak nanti lagi macam-macam.”

“Mana ada, kakak okey je mak. InsyaAllah kakak kuat jaga diri..” Walau hakikatnya, bagaimana mahu aku sembunyikan semua ini daripada pengamatan mak? Sedangkan 24jam aku berada dekat dengannya.

Mak diam sesaat sambil menunjukkan wajah yang sukar ditafsir.

“Duduk dekat rumah jelah, kalau sakit senang semua tahu. Hari-hari kan boleh keluar, belajar agama dekat surau, masjid.” 

Tergelak hambar. Payau liur yang ditelan. Jujurnya, hati bagai tersentap mendengar jawapan mak. 

“Hari-hari keluar tu lain mak. Kakak bukan belajar sebab kedudukan sampai PHD ke, cuma kakak memang minat sangat belajar. Nak dalami ilmu.. Boleh ye mak?”

Mak menggelengkan kepala. “Tak payah ye?”

Mak berlalu. Tanda tidak mahu meneruskan perbincangan ini.

Allahuakbar. SubhanAllah.

Allah.. kesekian kali pujukan ini tidak berhasil. Berkali-kali aku usulkan, berat lagi mak mahu izinkan. Tunduk bermuhasabah.

Tuhan, benarkah begini aturan yang sudah Kau tetapkan? Setelah Kau ajarkan aku keperitan ini, memang inikah hikmah yang Kau mahu ku tempuhi?

Kadangkala aku rasa terlalu marah, tetapi tidak jelas marah ini untuk apa dan siapa. 

Kadangkala aku rasa terlalu sedih, tetapi tidak jelas tangisan ini apa perlunya.

Mungkin aku sedih kerana ada waktunya aku tak mampu terlihat tabah. Aku marahkan pelaku yang menjadikan aku kehilangan diri sendiri. Tetapi cepat aku sedar takdir ini dari pencipta si pelaku. Perancangan Dia..

Tak mampu untuk aku luahkan, andai ini tanda aku tidak redha dengan ujianNya yang sedikit.


Ummi selalu pujuk, “Dalam ramai-ramai anak yang pandai dan belajar sampai tinggi-tinggi, mesti ada sorang yang Allah tak izinkan dia jauh dari mak ayah. Bukan tak bagi pendidikan lebih, tapi sebab tanggungjawab dan ketaatan dia pada mak ayah. Kalau semua nak belajar jauh-jauh, siapa yang nak duduk dengan mak ayah bila diorang dah tua?”

Memang benar, semua yang dikatakan ummi itu tiada yang salah. Melihat perkembangan kakak-kakak dan abang dalam soal pendidikan, membuat jiwa ini makin terperuk. Jujur aku cemburu. Impianku mahukan langkah gigih persis mereka. Sukar dibendung keinginan ini. Tetapi lupakah aku, perancangan aku hanya dibatasi kemampuan yang sedikit. Allah tak izinkan semua itu bertahan lama.. Dia punya hak yang agung..

Ya Robbul Izzah.. kuatkan aku dengan kenyataan ini. Tampar aku dengan hakikat ini. Aku sedang mendepani realiti, bukan lagi fantasi. Jika benar ini jalanMu, pupuklah redha dan taat dalam diriku. Kerana ketaatan buat mak abah, bukti ketaatan padaMu ya Robb. Izinkan aku persembahkannya buat mak abah hingga akhir hayat ini ya Allah.

Dan Kau izinkanlah aku untuk bertahan lebih lama lagi....