Carian

Apa yang ada?

Apr 23, 2016

Perhati dan Kenal Hikmah!


Tengahari tadi lepas dating dengan adik-adik, terus beli barang dekat Klang. Mula-mula tak lapar pun, tapi disebabkan nak study pengisian untuk usrah seterusnya, pergilah makan dulu dekat sebuah restoran sambil tunggu waktu Zohor.

Tengah khusyuk makan, aku tertarik dengan tiga orang gadis comel di meja sebelah. Mungkin lingkungan umur mereka diperingkat sekolah rendah. Rancak berbual bersama ibu mereka.

"Kakak nampak dengan mata ni sendiri, papa main mata dengan perempuan tu." Dengus si gadis yang aku kira lebih besar dari adiknya yang lain.

Ibunya hanya tergelak kecil. Entah lucu dengan gaya percakapan anaknya atau isi bualan tersebut.

"Betul ma.. Bayangkanlah, weekend lepas kata nak bawak kitorang pergi holiday, rupanya pergi Cameron Highland dengan betina tu."

Aku cuba pekakkan telinga dan fokus pada Kuey Teow Tomyam depan mata. Tapi serius tak boleh! Jarak meja kami hanya dipisahkan oleh sebuah kerusi. Sangat rapat. Dan suara si gadis petah itu bagaikan mahu mengadu pada seisi pelanggan restoran.

Mencari-cari earphone di dalam beg. Tak jumpa (aku tak bawaklah maknanya). Aduduh...

"Mesti dia lagi cantik dari mama kan?" Soal si ibu. Aku lihat dia mengerling aku yang nampak tak keruan. 

Memang patutlah tak keruan. Aku baca buku sorang-sorang, lepas tu makan sorang-sorang. Pulak tu memang aku rasa dia tahu aku dengar dengan jelas. Aku hanya balas dengan senyuman nipis.

"Nooo.. mama lagi cantik dari dia. Macam bidadari.." anaknya yang paling kecil membeli jiwa si ibu. Dari tadi aku lihat dia susah payah makan Chicken Chop sendiri. Comel sungguh gayanya.

"Memang mama lagi cantik pun. Lepas tu kan ma, haritu kakak mintak papa duit tuisyen. Papa kata, papa tak ada duit. Bukan macam mama, gaji besar bla bla bla.." memang sedaya upaya aku fokus makan. Tak dengar apa lagi yang si kakak bebelkan. Penuh semangat sungguh dia bercerita.

"Tak apalah kak kalau itu yang papa fikir. Mama tak kisah pun duit dia, yang penting kakak dengan adik-adik sihat.."

Aku angkat kepala bila dengar suara si ibu yang bergetar. Jujur sebak kot! Aku jenis yang sentimental banyak bab-bab ni.

Dia pandang aku dan senyum. Serba salah nak balas bila lihat ada air jernih yang bertakung dimatanya.

"Sorang je dik?" Soalnya. Aku mengangguk.

"A'ah.." tersengih kelat. Tomyam dihadapan mata berbaki separuh.

"Macam ni la hidup selepas bercerai dik. Dia jumpa anak-anak pun sebulan sekali. Kita mengharapkan dia jaga anak-anak dengan baik, tapi macam tulah.. Nak tak nak je gayanya.." luahnya tanpa aku pinta. Jujur, telinga dan jiwa ini bagaikan tak mahu berada di situ. Tetapi mungkin Allah mahu aku tahu sesuatu.

Aku diam menanti kebarangkalian jika dia masih mahu melanjutkan cerita. Tidak menunjukkan reaksi mahu mendengar ataupun tidak mahu mendengar.

"Adik dah kahwin?" soalan cepumas yang berjaya buat tomyam yang enak meletup di kerongkong. Pedas beb. Entahkan soalannya atau tomyam ni yang pedas!

"Belum kak.." jawab ringkas setelah menyedut perlahan Nescafe Ice.

"Bila dah kahwin nanti, fikirkanlah anak-anak kalau ada apa-apa masalah. Memang kadang-kadang banyak sangat benda yang tak sehaluan dengan suami, tapi cuba bawak berbincang. Macam akak ni, dah tak guna lagi bila akak sendiri yang ambil keputusan untuk bercerai. Dia ada orang lain yang lebih baik daripada akak. Anak-anak pun dia tak minat sangat nak jaga. Cuma sebulan ni je akak tinggalkan diorang dengan dia, macam-macam pulak halnya.."

Aku terangguk-angguk. Rasa simpati tumpah buatnya, bahkan mungkin orang lain lebih perit lagi pengalamannya daripada ini.

"Saya mungkin tak tahu kisah hidup akak. Tapi akak beruntung kan, anak-anak semua nampak matang dan pandai bawa diri." Tak tahu nak respon apa yang memberi nilai positif. Tiga orang anak daranya tersengih-sengih. Tahu aku memuji mereka.

"Alhamdulillah.. dengan kurniaan (anak-anak) ni pun dia masih tak bersyukur. Seronok sangat nak enjoy.." Wajahnya tampak kecewa, kesal, sedih dan penuh rasa yang berbaur.

Krisis dalam rumahtangga selalunya mengambil masa yang panjang untuk sampai kepada kemuncaknya. Dalam jangka masa yang sama ini dapat dilihat tahap demi tahap berlaku dan suasana menjadi semakin genting jika salah satu pihak atau keduanya tidak mengambil sesuatu inisiatif untuk membendungnya. Anak-anak adalah risiko segala tindakan yang diambil.

Memang banyak lagi perkara yang dia kongsikan. Pada asasnya aku bukanlah seorang yang gemar untuk mendengar masalah rumahtangga orang lain, lagipula orang yang aku tak kenali. Tetapi apabila memikirkan hikmah yang Allah mahu aku singkapi, memungkinkan diri menjadi pendengar yang baik buatnya. Aku yakin, dia bukanlah mahu membuka aib kehidupannya sendiri, tetapi dia juga perlukan sesorang untuk mendengar segala luahan yang lama dipendam.

Di akhir pertemuan kami, sempat anaknya yang paling kecil membelek-belek tudung yang aku pakai. Tergelak tengok aksinya.

"Dah besar nanti jadi anak solehah macam kakak tau.." pesannya pada mereka. Aku hanya tersenyum kelat. Menggeleng tidak, mengiyakan pun tidak. Solehah ke diri ini? Nampaknya banyak proses kenakalan yang perlu mereka tempuhi!

Pertemuan singkat ini, jujur memberi nilai yang besar buat diriku. Kakak itu menjadi wasilah buat perkara yang sedang aku fikirkan.

Dari Abi Hurairah r.a.; Katanya, Nabi s.a.w. bersabda ,
    
        “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kiamat, maka apabila ia menyaksikan sesuatu peristiwa, hendaklah ia menanggapi dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagiannya yang paling bengkok ialah sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok kerana ia bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.” (Riwayat Muslim)

Kenal hikmah, Shahidah!

No comments:

Post a Comment