Carian

Apa yang ada?

Jun 22, 2012

Acik.. Jom SOLAT !!


Petang yg redup. Kedengaran riuh suara kanak-kanak bermain di halaman rumahnya. Kasut sekolah dibuka. Disusun diatas rak kasut. Baru saja hendak melangkah, si kecil Nur Ifti menghampirinya seraya mendepangkan tangan. Berubah terus riak wajah Shifa. Senyumannya melebar.

“Kakakkkk….! Salam acik dulu..” Shifa menghulurkan tangan. Dan tangan itu bersambut dengan tambahan hadiah dikedua belah pipinya.

Tubuh kecil yg baru melangkah ke alam sekolah rendah itu dipeluk erat. Membuak rasa rindu buat anak saudara tercinta. Kesibukan dan kekangan masa yg dialami telah membataskan pertemuan mereka berdua. Lagi pula, Nur Ifti jarang berkunjung ke rumahnya kecuali jika abang dan kakak iparnya melaksanakan tuntutan kerja.

“Acik.. jom solat! Kakak tak solat lagi.. Nanti Allah marah kan?” Wajah itu polos. Penuh kelembutan, kesucian, kesopanan. Suci sungguh hati itu!

Shifa terharu. Ditarik perlahan tangan kecil itu kedalam rumah yg sederhana luas. Senyuman tak lekang dari bibirnya. Jam tangan dijeling sekilas.. 5 petang dah…

Good! Sebelum tu, ambil wudhuk dulu ye?” Beg galas yg menjadi bebanan bahunya diletakkan diatas meja belajar biliknya.

Setelah itu, mereka bersama-sama melangkah ke arah tandas. Shifa terpinga-pinga melihat si kecil itu mensinsing lengan baju t-shirt yg tersarung ditubuh kecil itu.

“Ok.. tau tak nak ambil wudhuk macam mana?” Sengaja Shifa bertanya. Ingin menguji tahap pengetahuan Nur Ifti dalam bab itu.

Dengan spontan, Nur Ifti menepuk dahinya.
 “Apalah acik ni.. Kita taulah.. Dekat sekolah kan dah belajar..” Dengan yakin Nur Ifti menuturkan kata.

Sebelum memasuki tandas, Nur Ifti menghimpunkan kedua-dua belah tangan kecilnya. Terdengar sayup dan perlahan suara anak itu membaca doa sebelum berwudhuk. Serasa ingin mengalir air mata Shifa. Sungguh!

Proses berwudhuk dilakukan dengan tertib. Tingkah Nur Ifti diperhatikan oleh Shifa. Tidak lepa langsung! Selama beberapa bulan dia menggalas tanggungjawab sebagai muraqqibah disekolahnya, perkara yg amat dipandang remeh oleh pelajar bahkan segelintir hamba Allah adalah tentang penyempurnaan wudhuk. Mengangkat wudhuk adalah perkara yg ditolak tepi, yg tidak dititik beratkan. Bagaimana anak sekecil ini boleh matang dalam pemikiran, sedangkan para remaja sibuk menunas dan hanya memandu dirinya dengan nafsu tanpa menitikberatkan perkara yg dianggap biasa ini?

Setelah Nur Ifti usai mengambil wudhuk, Shifa mempersiapkan dirinya dan tempat untuk mengerjakan solat. Telekung miliknya semasa kecil dipakaikan rapi menutupi seluruh tubuh anak saudaranya yg tercinta kecuali bahagian muka. Dia mengimami Nur Ifti yg baru merangkak untuk memahami apa itu tuntutan solat terhadap orang-orang Muslim.

Salam diberi, wajah diraup. Doa dibacakan dengan khusyuk. Walaupun si kecil Nur Ifti tidak memahami apa yg dipinta olehnya, tetapi dia tetap tawadhuk meminta kepada yg Esa. Terdengar suara kecil itu mengaminkan doanya. Shifa sudahi doanya dengan membuat permintaan pada Ar-Rahim, agar anak saudaranya itu menjadi muslimah solehah kelak.

Kepala dipaling ke sisinya. Nur Ifti merenungnya sayu. Apa yg ada didalam hati dan fikiran anak kecil ini? Dia tidak mengerti, tetapi dia dapat menghidu masa depan anak kecil itu. Mata sepet itu seolah-olah bercerita.



‘Duhai sayang.. doa ini acik titipkan buat hati yg suci tanpa calaran dosa dan noda, tanpa cemaran fananya dunia. Coraklah langkahmu anakku!’ Shifa bermonolog. Sarat dengan harapan.

Tangannya dicium hormat oleh Nur Ifti. Kedua belah pipi anak saudaranya diberi hadiah. Lantas tubuh kecil itu dipeluk erat. Air mata ditahan daripada menitis. Kepala anak saudaranya diusap perlahan.

“Acik.. Dah lama acik tak ajar kita mengaji.. Acik dah tak nak ajar kita lagi ke?” Kedengaran tulus permintaan itu. Shifa terpempan! Ya Allah.. Sungguh… aku mengabaikan anak inikah? Astarghfirullah..

“Eh! Taklah.. Nak ajarlah ni.. Acik selalu balik sekolah lambat.. Lepas tu, bila acik balik je mesti kakak dah tak ada..” Penuh keanak-anakan Shifa meyakinkan anak saudaranya.

Shifa mentasmi’ bacaan Nur Ifti yg hampir menamatkan Iqra’ 3 nya. Lancar, merdu, lembut dan tajwidnya terjaga! Sekali lagi Shifa terpesona merenung anak saudaranya yg disayangi. Setelah usai mengaji, Nur Ifti terlompat-lompat kegembiraan kerana berjaya mengakhiri petangnya dengan menunaikan solat dan mengaji bersama Shifa. Anak kecil itu menghampiri meja solek dan merenung serta membelek-belek wajahnya yg masih bertelekung.

"Acik.. cantik tak muka kita?" Shifa dilirik melalui cermin. Shifa tergelak.

"Ye.... cantiklah tu.. Kalau kakak pakai tudung setiap hari.., laaaaaagi cantik!" Shifa menghampiri Nur Ifti. Pipinya dilagakan dengan wajah anak kecil itu.

"Nak kena pakai setiap hari ke?" Polos dia bertanya. Shifa terangguk-angguk.

"Haa... sekarang kan.. antara kakak dengan acik, siapa yg lagi cantik? Acik kan? Wahh... comelnya acik...!" Shifa sengaja memerasankan dirinya.

"Hah...?! Wekk!" Nur Ifti membuat gaya orang yg sedang muntah. Bibirnya dicebikkan. Matanya menjeling Shifa melalui cermin.

Shifa tergelak dengan tingkah anak saudaranya itu. Comel sungguh!

Doanya, 'solehah' dan 'taat' akan menapak dalam diri Nur Ifti. Kerana kanak-kanak itu umpama pokok yg baru bertunas. Ianya akan membesar seiring usia dan menghasilkan buah yg ranum jika dibaja dengan keimanan... InsyaAllah.. Amin ya Robb..!

***TAMAT***

Bagaimana sebuah rumah (agama) itu mahu berdiri megah jika tiangnya (solat) runtuh?

 Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Solat itu akan mendidik diri daripada melakukan kemungkaran. Jika hati ini diberikan pada yg Esa dalam pengabdian solat dan ibadah, kemungkaran akan menjunam ditempat yg rendah.

Serasanya, umat Islam amat mengetahui tuntutan solat. Kerana solat adalah perkara utama yg akan diperhitungkan diakhirat kelak. Solat merupakan ibadat yang amat penting bagi setiap Muslim yang mukallaf. Dan ianya adalah fardu ain.

Hujah ini diperkukuhkan dengan sebuah hadis Nabi yang bermaksud: Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama.

Dr. Mohd Fadzilah Kamsah mensasarkan bahawa 80% umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Peratusan ini didapati melalui tinjauan beliau dalam program-program ceramah dan motivasi serta pemerhatian terhadap gaya hidup masyarakat Islam masa kini.

Yg menjadi kemusykilannya, mereka sanggup membuang masa melepak di kedai kopi, pusat membeli-belah, panggung wayang, menyaksikan konsert, berkaraoke dan sebagainya selama berjam-jam tetapi dengan bongkak mengabaikan taklif agama yang mengambil masa yg sangat pendek..?

Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Surah An-Najm : 5)

Solat adalah penghulu kepada ibadah yg lain. Jika terjaga solatnya, akan terjagalah perkara-perkara yg lainnya.. Boleh jadi orang yg solatnya tertib itu tidak sempurna wudhuknya dan boleh jadi juga orang yg sempurna wudhuknya tetapi tidak tertib solatnya.. Sama-samalah kita menjaga dan menitikberatkan tentang kedua-duanya.. Wallahualam..

No comments:

Post a Comment