Carian

Apa yang ada?

Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Aug 12, 2015

Hikmah Memberi


Fail kerja kajian ku peluk erat. Bimbang terjatuh dan bertaburan kertas-kertas dijalanan. Berjalan perlahan keluar dari masjid.

"Dik.. maaf ganggu.." seorang lelaki dengan pakaian yg lusuh merapati aku. Dengan senyuman pucatnya. Dia menggenggam erat tangan kanak2 yg aku kira seawal 5 atau 6 tahun.

"Ye.. kenapa encik?" Beranikan diri. Walaupun aku jarang membalas sapaan mahupun teguran orang yg tidak dikenali.

"Sebenarnya.. err.. kami dari semalam tak makan. Malu abang nak cakap.. Boleh tak adik sumbangkan pada abang rm10. Cukuplah untuk anak abang makan.. Boleh tak dik?" takut-takut dia meluahkan kata.
Aku lihat, ditubir matanya bertakung manik jernih. Aku renung anaknya pula. Polos benar. Berderau darahku.

"Allahuakbar.." pantas aku membuka zip beg galas. Mencari-cari dimana letaknya dompet aku. Padahal aku sendiri sedang berkira-kira menggunakan tiap wang yg ada. Fikirkan yuran kelas yg belum dibayar, buku rujukan yg masih belum dibeli.

Duit belanja harian yg kian menyusut membuatkan aku lebih teliti merancang penggunaan harian. Aku seorang pelajar, yg membuat kerja-kerja tambahan untuk mencari wang poket sendiri. Kadang-kadang mengajar di pusat tuesyen dan menyimpan hasil wang sumbangan seikhlasnya daripada kanak2 yg mengaji di rumah. Walaupun hakikatnya sedikit, tetapi aku rasa cukup dengan yg sedikit itu.

"Abang sebenarnya malu nak mintak duit macam ni. Tapi abang terdesak sangat ni dik.. Isteri abang dekat hospital, baru lepas bersalin. Dah sebulan, tapi kena tahan sebab macam-macam komplikasi. Anak pulak kena sakit kuning, jantung berlubang. Jadi, abang terpaksa buat macam ni. Semua duit dah habis untuk perubatan, kegunaan harian.. Maaf sangat dik.." ujarnya ketika aku masih terkial-kial mencari jika ada sedikit wang di dalam dompet.

"Eh.. tak apa bang.. Hari ni abang sangat perlukan bantuan, mana tahu esok lusa saya yg alami kesusahan, Allah saja yg mampu tolong.."

"Entahlah dik.. abang kerja mekanik dekat bengkel, tapi brader tu dah pecat abang tiga hari lepas.. Sebab sebulan ni banyak kali mintak cuti. Kita bukannya apa, dalam keadaan anak dengan isteri dekat hospital, terikat nak tinggalkan diorang. Lagipun anak abang yg ni, masih tadika. Hari ni puas abang cari kalau-kalau ada kerja kosong dekat mana-mana, tapi bukan rezeki lagi agaknya." dia meluah rasa. Aku hanya tekun mendengar.

"Sabarlah, insyaAllah ada rezeki yg tak terjangka Allah akan beri. Mungkin bukan sekarang, tapi Allah tunjuk bila anak-anak besar nanti." Aku hulurkan not RM50. Itu saja yg aku ada. Dalam dompet hanya tinggal wang RM1 yg aku tak tahu jumlahnya. Tetapi boleh dikira kurang dari 10 jari.

"Allah.. dik.. banyak sangat ni. Malu rasanya.. Abang cuma perlukan RM10 je, utk isi perut anak. Abang tak makan pun tak apa. InsyaAllah nanti abang akan cari kerja lain.." dia ingin hulurkan kembali wang itu. Tetapi aku menolak dengan baik.

"Tak mengapa, abang lebih perlukannya.. Cuma satu saya minta, esok saya ada exam dengan pembentangan kerja kajian. Saya hanya minta untuk didoakan.." Matanya berair. Ada takungan air yg memberat disitu. Dia meraup wajah.

"Moga Allah permudahkan kamu, tenang menjawab periksa. Bantuan kamu ni moga Allah saja yg membalasnya.." Dia keluarkan pen dan resit kumal dari saku bajunya. Dia menulis sesuatu dibelakang resit tu.

"Ni nombor telefon dengan alamat rumah abang. Kalau kamu tak percaya dengan abang, kamu boleh selidik. Dan kalau ada apa2 bantuan yg diperlukan, contact je. Saya tak mampu nak bantu wang ringgit, tetapi selagi terdaya, akan diusahakan."

"InsyaAllah.." aku membalas ringkas. Menggosok perlahan kepala anaknya.

"Salam kakak, ucap terima kasih dekat kakak.." "Saya dengan ayah mintak maaf.. terima kasih kakak.." ujar kanak-kanak lelaki itu. Sekali lagi aku dihambat perasaan. Anak ini meminta maaf?

Ya.. dia sudah cukup tahu kesusahan keluarganya. Setelah berpamitan, dia berlalu pergi dengan menggendong anaknya. Empati melihat keadaan mereka.

Aku tahu, ramai lagi yg lebih susah dan getir hidupnya diluar sana. Cuma Allah memberi hikmah dengan pengalaman yg sedikit hari ini. Merasai betapa tekadnya seorang ayah, terpaksa meminta demi memikirkan perut anaknya yg masih tidak diisi.

Aku tahu, ramai yg beranggapan golongan sebegini kadangkala hanya mengambil kesempatan dan mungkin berniat serong ataupun menipu. Tetapi satu sahaja yg aku pegang -- berilah sebanyaknya tanpa mengira utk menerima sebanyaknya. Biarkan jika mereka menipu, tetapi bantuan yg diberi itu harus seikhlasnya. Kita tidak tahu niat mereka, tetapi kita tahu niat hati sendiri. Amal itu, pada Allah nilaiannya. Bukan pada nilaian manusia.

Mungkin dia hanya asbab teguran dari Allah. Duit mahupun barang dalam simpanan kita, belum tentu ia milik kita. Mungkin Allah mahu kita menjaganya, sebelum bertemu hak pada pemiliknya.

***

 Syukur. Usai mengeluarkan duit dari akaun Bank Islam. Asalnya dalam simpanan ada RM300, tetapi setelah dikeluarkan RM250, hanya berbaki RM50 untuk digunakan saat diperlukan nanti. Duit ini akan digunakannya untuk membayar yuran kelas.

Lagu Seru Pembelaan nyanyian Soutul Amal melatari ruang biliknya yg sunyi tanpa penghuni lain. Pantas dijengah nama pemanggil di skrin telefon bimbit.

Kak Nurul? Hairan kerana kakak angkatnya itu sudah lama tidak menghubungi. Selalunya cukup sekadar sms.

Kami menjadi keluarga angkat semasa aku di tahun 2, menyertai program mahasiswa bersama masyarakat. Selama dua minggu merasai hidup bersama mereka.

"Akak.. kenapa ni?" Gusar apabila bunyi esakan yg singgah di pendengarannya. Makin lama makin kuat.
"Ummu.. boleh tolong akak tak? Ummu kena tolong akak.. akak tak ada orang lain selain Ummu. Kamu je yg boleh tolong akak.." rayuannya menggusarkan hati, menjerut rasa. Mengapa sampai begini?

"Cuba cerita baik-baik, jangan sedih-sedih macam ni.. Akak tenangkan diri dulu, cerita satu persatu dekat Ummu. Baru Ummu boleh tolong." Cuba memujuk.

"Sebenarnya.. akak kena bayar yuran kelas, RM300. Tapi akak tak ada duit lagi dah. Semua dah digunakan untuk bayar rumah sewa, belanja makan. Akak tak nak minta mak dan bapak. Mereka dah cukup susah dik.." Ujarnya sayu. Aku terngadah. Jiwa ini seolah terenggut mendengar kata-katanya.

"SubhanAllah.. akak.. Ummu ada duit sikit. Akak nak pinjam?" Perasaan ini sukar untuk digambarkan.
Aku memejam rapat mata yg mula ditakungi air jernih. Tidak mahu ia mengalir andai ini air mata sisa tidak kepercayaan kepada aturan Allah. Aku sedang merancang, tetapi Allah melorongkan perancangan yg maha hebat untuk dilalui oleh hamba yg hina sepertiku.

Hati seolah tidak sabar, tetapi apabila yg sedang memerlukan ini adalah insan akrab sendiri, mustahil aku mahu meladeni tuntutan diri.

"Allahuakbar.. boleh ke dik? Akak takkan minta kalau tak terdesak macam ni. Akak cuma perlukan lagi RM250. Asalnya RM300, tapi tadi akak dah jual kasut sport akak yg Ummu pernah hadiahkan dulu. Akak jual RM25. Maafkan akak Ummu.." luahnya syahdu. Aku tahu, dia sudah banjir dengan air mata.

Akhirnya air jernih yg hanya menyinggah dipelupuk mata, perlahan mengalir. Aku menangis kerana tidak menyangka senekad itu tindakannya. Takku hiraukan hadiah pemberian aku dulu telah dijual olehnya.

"Tak apa kak.. tak kisah pun akak jual kasut tu.. Tapi kalau Ummu bagi RM250, mana akak nak cari lagi RM25?"

"Kawan akak tengah on the way ni. Akak nak jual beg akak dekat dia. Harap dia nak beli beg ni dengan harga RM25." Ucapnya dengan keyakinan dan harapan bahawa kawan yg disebut itu akan membeli beg miliknya.

Berderau darahku. Cuba untuk tidak menerbitkan esakan yg berombak di dada.

"Akak..." sudah tidak terkata.

"Akak minta maaf ye.. Tapi tolong jangan bagitahu mak dengan bapak. Akak taknak bapak susah hati. Lagipun kamu tahu kan, mak bukannya sihat sangat."

Teringat bapak yg sakit jantung, dan mak yg menghidap penyakit paru-paru berair. Seringkali sesak nafas dan mengundang kerisauan kami semua. Bapak pula hanya bekerja mengambil upah mencari kelapa untuk dijual di kedai. Kadangkala tidak menentu pendapatannya tiap bulan. Paling banyak, RM400 sebulan. Itupun hasil pelbagai jenis kerja kampung yg dilakukan.

Dengan keadaannya yg makin uzur, dia gagahkan diri untuk menghantar Abang Zul dan Kak Nurul ke universiti terkemuka, dan 4 adik-adik yg lain masih bersekolah. Seorang daripada mereka adalah hafizah, pemelihara Al-Quran walaupun masih berumur 9 tahun, bersekolah swasta yg bayaran bulanannya lebih daripada RM100. Aku kagum dengan kegigihan keluarga itu.

Walaupun hidup susah, bapak tidak pernah membiarkan anak-anaknya tidak berpendidikan. Aku sebagai anak angkatnya, turut merasai kasih sayang keluarga itu. Tiap bulan bapak pasti memasukkan RM20 ke dalam akaun milikku. Walau hanya RM20, hal itu amat memberi kesan yg besar buat aku.

Dengan wang itu juga, aku titipkan semula dengan bentuk barangan mahupun kelengkapan sekolah buat adik-adik. Seringkali aku menolak, tetapi bapak selalu mengatakan, aku anaknya juga.. Dia ingin benar aku berjaya mencapai cita-cita walau dengan hanya memberi RM20 setiap bulan. Allahuakbar..

"InsyaAllah Ummu tak bagitahu mak dan bapak. Akak jangan tension sangat tau. Exam nak dekat, Ummu tak nak akak susah hati. Dua date bayar yuran ni bila?"

"Pukul 5.30 ni Ummu.. Ada lagi satu jam je. Akak susahkan Ummu kan? Sepatutnya akak tolong adik akak, bukan susahkan macam ni. Tapi insyaAllah kalau duit biasiswa akak dah keluar, akak bayar balik." Mencongak di dalam kepala. Aku masih ada masa satu minggu untuk membayar yuran kelas. Tetapi Kak Nurul, hanya berbaki satu jam.

SubhanAllah, hanya pada Ilahi aku meletakkan kepercayaan dan keyakinan.

"Akak tak payah fikir banyak sangat macam ni. Tak susahkan Ummu pun. Akak lebih perlukan duit tu. Keutamaan Ummu sekarang ni, mengutamakan akak. Asal pergantungan pada Allah, maka kembalikan tiap urusan dalam aturan Allah. Kalau boleh kan kak, tiap apa yg kita rancangkan, sandarkan perancangan tu pada Allah. Biar ditiup mehnah, kita tahu nak cari di mana kekuatan itu. Baru boleh pupuk tawakal dan redha.." Sungguh... aku sedang memujuk diri tika ini.

"Nanti Ummu masukkan duit dalam akaun akak. Tapi, duit belanja akak macam mana?" Gusar memikirkan hal itu.

"Tak apa, dekat rumah sewa ni ada je bahan yg boleh dimasak. Rezeki Allah tu luas kan dik. Akak nak ucapkan terima kasih sangat dekat Ummu, banyak tolong akak." Serak suaranya. Mungkin sudah sehabis menangis.

"Hazha min fadhli Robbi.. Pertolongan tu dari Allah, akak yg kena kuatkan hati dan pergantungan. Bila keyakinan tu kita pasakkan pada Allah, ujian berat mana pun akak akan rasa mudah. Qowiy lillahi ta'ala! Kalau ada masalah, boleh cerita dekat Ummu, jangan simpan sorang.." Nah. Sekali lagi kata-kata itu ditujukan khas buat diri.

"Cuma satu Ummu minta dari akak. Esok Ummu ada pembentangan kerja kajian dan exam. Sejujurnya, banyak sangat tak dihadam lagi. Sahabat Ummu sakit, dah seminggu berkejar hospital-program-kuliah-rumah. Akak doakan dia dan Ummu ye.."

"Oh.. akak dengar tentang program kampus Ummu tu. Hebat adik akak ni. InsyaAllah, Allah takkan beri apa yg kita impikan mengikut acuan kita, tetapi dia beri apa yg kita perlukan mengikut acuan Dia. Itu yg Ummu selalu pesan kan.." SubhanAllah. Lafaz syukur bergema dalam sukma.

Berkali-kali aku dijentik hikmah hari ini. Duit yg tadinya aku pegang, sekali lagi hanya menjadi pemegang hak insan lain yg lebih perlukannya. Indah rasa ini, ditegur dengan tarbiyyah langsung dariNya.

Memaknai lafaz syukur ini bukannya mudah, kerana ia perlukan jasad dan roh yg sanggup berkorban, mengerti dan turut memahami takrifan redha dan tawakal dengan usaha pada Ilahi..

***

Debar menanti di luar kawasan zon merah hospital besar ini. Jam tangan dikerling. Menginjak pukul 2 pagi. Sudah tiga jam, masih tidak menerima jawapan pasti pembedahan Nailah, teman akrab merangkap sahabat kuliahnya.

'Ya Allah.. permudahkanlah urusannya..' monolog hati Ummu.

Duduk di atas lantai hospital sembari memerhati ragam insan-insan disekelilingnya. Ada yg menunjukkan riak tenang, ada yg tertidur pulas di atas bangku. Mungkin keletihan menunggu seseorang. Tidak kurang juga yg asyik menangis tidak henti.

Mehnah. Satu bentuk pengajaran tanda kasih dari Ilahi. Cumanya.. lain org, lain bentuk penerimaannya. Memandang dari impak positif mahupun negatif. Memaknainya dengan rasa syukur, bukan semudah lafaz bicara.

Teringat keadaan di rumah sewanya tadi.

 "Ummu, malam ni saya tak dapat pergi hospital. Esok petang paper saya pukul 2.30." ujar Laila.

"Ha'ah, saya pun ada kelas tutor pukul 10 pagi esok." Izzah menyampuk. Aku terkebil-kebil.

Tapi....

"Saya pun ada paper, pukul 9 pagi esok." perlahan bicara yg keluar dari ulas bibir. Memang semua maklum jadual harian masing-masing.

"Malam ni kan pembedahan Nailah. Kita semua patut ada untuk support dia." Tambahnya lagi. Mengharap mereka mengerti. Laila tersenyum kelat.

"Maaf Ummu.. Saya harap sangat awak faham, banyak lagi saya tak cover ni."

"Saya pun.. malam ni awak soranglah yg pergi hospital ye? InsyaAllah, kami doakan yg terbaik untuk Nailah.." Aku cuba untuk tersenyum, disaat hati pedih terhiris.

"Ummu faham, doa sahabat secara sirr tu lebih baik, daripada dizahirkan dengan perbuatan.."

Bubar segala lamunan tadi. Dipelusuk hati yg dalam, mengharapkan mereka juga berada disini, menjadi penguat buat seorang teman yg tidak punya sesiapa.

Pantas aku menyelak lembaran mini tafsir al-Quran yg senantiasa di bawa ke mana saja. Lebih tenang membaca helaian dan lembaran mushaf, berbanding menggunakan aplikasi android yg semakin canggih.

“Dan Kami pasti akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Rabbnya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah : 155-157)

Menggeletar jari-jemari saat ia singgah menyentuh tepat tafsiran ayat itu. Nafas berat dihela. Senyuman tipis diukir, menggamit semangat yg tadinya sirna.

'Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.. La takhof, innallaha ma'ana..' bisik hatinya. Memang lembaran ini yg pantas dicari, diusik saat mudah mahupun getir.

Aku percaya pada nusrah Ilahi! Pasti Dia beri pertolongan, saat betul-betul memerlukannya..

***

Alhamdulillah. Tidak pernah setenang ini menjawab peperiksaan besar. Selalunya perasaan ini pasti berkecamuk, risau memikirkan persediaan yg tak pernah cukup.

"Alhamdulillah, syukran lillah.. laqad najahtu.." terluah bicara itu..

"Berjaya apa ukhti? Natijah belum keluar.." tegur seorang teman kuliah yg lalu dihadapannya. Aku tersenyum cuma.

"Tak ada apa-apa.." biar rasa ini menjadi rahsia aku dan Ilahi. Berjaya itu bukan pada natijah, tetapi cukup dirasakan berjaya semasa menjalani fatrah imtihan dari Ilahi.

Selama ini mungkin berbeza tanggapan juga tebakan soal takrifan 'kejayaan'. Bagi seorang pelajar, mungkin berjaya itu pada gred mahupun pointer, tetapi tahukah rasa ini, sukar mahu diterjemah saat berjaya walau tanpa pointer yg tinggi. Malah natijah pun belum keluar, Ummu..

Teringat peristiwa-peristiwa semalam. Memikirkan secebis doa yg dipinta buat bekalan hari ini. Ya Allah, beginikah indahnya hikmah? Sudah, bubarkan rasa yg dipinjam seketika ini. Banyak lagi tuntutan yg menanti!

Langkah diatur menghadiri kuliah seterusnya, kerja kajiannya akan dibentangkan sebentar lagi. Bakal dievaluasi oleh empat orang pensyarah. Sungguh, debar ini bersama kekuatan memikirkan Nailah yg sepatutnya bersama-sama melakukan pembentangan. Kerja projek ini hasil kerja berdua, bukan hanya dia seorang.

Tetapi perancangan Ilahi, siapa mampu menduga? Dia yg masih punyai kudrat, harus merealisasikan segala semangat Nailah yg tumpah di dalam kerja kajian ini semasa proses menyiapkannya.

"As we all know, today I will present this project without Nailah. Because yesterday she underwent kidney surgery. She was transferred to the yellow zone early this morning. Let us pray for her health.." Dengan lafaz bismillah, aku melakukan pembentangan. Bukan keseorangan, kan ada Ilahi..

"Superb! You have done your best, Ummu. Send my regards to Nailah.." kata-kata pertama yg keluar dari ulas bibir pensyarahnya. Suasana gamam seketika. Tiada suara yg kedengaran.

Teman kuliahnya masing-masing terpaku. Pensyarah yg selama ini sangat tegas dan sukar memuji, sedang memberi galakan yg tak terjangka. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Debar didada masih menggila.

"Thanks for listening.." berlalu keluar setelah kelas tamat.

***

Sakit yg menjerut segala rasa cuba dilupakan. Kepala makin memberat kerana tidak tidur dari kelmarin. Tetapi mengingatkan panggilan baba yg tidak berjawab semasa kuliah tadi, pantas dia mencari telefon bimbit di dalam beg.

"Baba.. sihat?" Panggilan yg bersambut dihujung talian membisikkan kekuatan buat hati yg galau.

"Alhamdulillah.. bertambah sihat.. ummi kamu pun. Kamu macam mana kuliah? Dah makan?" Soal baba. Aku hanya tersenyum disini. Walhal baba bukannya nampak senyuman aku.

"InsyaAllah.." jawab datar.

"InsyaAllah? Dah makan ke belum? Kamu ni.. bila baba tanya bab makan, tak pernah nak jawab betul-betul. Ni mesti tak makan. Dah berapa hari tak sentuh nasi?" Mula dah bebelannya. Aku hanya tergelak mendengarnya.

"Baba ni.. insyaAllah tu maknanya kalau Allah izinkan, kakak mesti makan. Tapi bila Allah tak izinkan lagi, kakak makan kismis je tadi." Pandai menjawab.

"Ada je benda yg dibahasnya. Inilah bahana suka sangat masuk debat, pidato." Kata-kata baba berbaur usikan. Tetapi terselit juga nada kerisauannya.

"Kakak.. sibuk berprogram, banyak assignment, terkejar kuliah sana-sini, pengajian agama, kena mengajar kelas tambahan, tutor, bukan sebab untuk menzalimi diri tau kak. Hak kepada nafs pun kena jaga, makan, rehat dan tidur secukupnya. Kakak tu tak sihat sangat, nanti migrain, gastrik, darah tinggi naik lagi macam mana?" sayu suara baba. Aku beristighfar panjang didalam hati. Baba pasti merasai keadaan aku tika ini.

Seorang bapa yg sangat akrab sebagai teman, dia faham benar sikapku. Tetapi seboleh mungkin aku tidak mahu dia sedar aku sedang alami segala tebakannya tadi. Biar kesusahan ini mengajar makna hidup bertuhan, kepergantungan hanya pada Dia. Tetapi jiwaku membisik, baba.. anakmu ini sudah kehabisan wang, tetapi insyaAllah masih ada kudrat untuk mencari. Tidak mahu hanya meminta tanpa usaha. Zalimkah aku pada diri?

"SubhanAllah.. baba risaukan kakak ye? Maafkan akak, baba.. Kakak selalu makan, jaga waktu tidur dan rehat. Tak sibuk mana pun. Nak tengok Islam yg syumul tertegak sebagai addin yg tinggi, kenalah usaha lebih kan? Baba kan selalu cakap, orang yg banyak waktu lapangnya, dia sedang lupa tanggungjawab dan masa yg ada tak cukup untuk selesaikan semua tuntutan. Baba doakan yg terbaik untuk kakak ye?" Sebak. Biarlah hanya diri dan Ilahi yg memahami.

"Baba selalu doakan anak-anak baba.. Kakak, kamu ada duit belanja tak? Kamu ni bukan macam abang, tak ada duit belanja tapi senyap je. Lainlah abang, dia tahu mengadu. Kamu dalam tanggungjawab baba, jangan susahkan diri tu, kakak.." Kan.. hal ini juga yg baba risaukan.

Aku hanya tergelak. Entah hambar atau tidak.

"Tadi baba baru masukkan RM500 dalam akaun kamu. Guna duit tu sebaiknya. Kalau tak cukup, mintak. Jangan senyap je.." ujar baba lagi. Terkejut.

"Banyaknya.. kenapa banyak sangat baba? Kakak ada duit, insyaAllah.. RM500 tu baba boleh simpan untuk pergi Haji kan?" Cuba menahan lontaran suara yg hiba.

Baba mengingatkan aku kepada lelaki kelmarin yg aku jumpa di perkarangan masjid. Walaupun daripada bapa sendiri, aku tidak betah membiarkan dia memikirkan kegentingan anaknya. RM500 itu nampak sedikit, tetapi cukup banyak untuk aku menampung perbelanjaan hingga ke hujung bulan sebagai seorang pelajar.

"Duit tu bukan hak baba. Tadi masa baba pergi surau, ada kawan sumbangkan. Dia memang sebut nama kamu. Kamu kenalkan Pak cik Zaki?" Sebut sahaja nama itu, memang dia dikenali orang kampung kerana sikapnya yg pemurah.

"Kenal.. tapi kenapa dia bagi kakak?" Musykil.

"Dia kata, tiba-tiba teringat kamu masih belajar. Baba tambahkan sikit tadi duit belanja kamu. Rezeki ni daripada Allah, bersangka baiklah pada Allah ye kakak.." Aku sangat terharu. Tidak terluah dengan segala ucapan kata.

Peristiwa semalam bagai menari-nari dalam bayangan. Satu persatu. Detik demi detik. Saat payah memperjuangkan nikmat syukur dan tawakal.

Allahuakbar. SubhanAllah. Alhamdulillah. Sujud syukur. Allah memberi uji, tanda peduli. Disaat diri sangat memerlukan, Allah titipkan rezeki yg tak terduga. Kita memberi sedikit, Allah gantikannya dengan rezeki yg lain. Malah terlalu banyak nikmatNya yg kita alpa untuk syukuri.

Insan yg memandang ia dengan mata hati, moga menjadi tingkatan iman diri. Jangan pernah penat untuk memberi..

*** 

TAMAT 

Inspirasi cerita pendek ini daripada seorang Murabbiyah, yg sentiasa mengingatkan kepergantungan anak didiknya ini kepada Ilahi. Sekuat manakah hubungan kita dengan Allah? 

Hinggakan setiap inci kehidupan, kita serahkan bulat-bulat, sepenuhnya di tangan Allah. Tak gentar, tak ragu dan berburuk sangka dengan percaturan Ilahi. Tidak lelah dia memesan, hidup biar memberi sebanyaknya, kelak hingga tidak dapat diingati segala pemberian itu pernah menjadi satu amal kebaikan. 

Penuhilah segala keperluan-keperluan masyarakat! Turunlah ke medan lapangan, bermasyarakat untuk lebih kenal makna kehidupan. 

Saat nikmat kekuatan langkah, hayunan tangan, ketajaman mata, kepekaan pendengaraan Allah tarik satu persatu, tiada gunanya menyesali diri. 

Jangan pernah penat meniti lorong ini, kerana titian matlamat mardhatillah dirasai dengan roh, bukan hanya jasad. Syukran lillah. Jazakumullah khairan kathir, sahabat2 seperjuangan!

Jul 3, 2013

Cerpen : KeranaNya Aku Melupakanmu



“Mama, napa tita tak boleh potong bulu Mawmaw?” Fatimah Az-Zahra menyoal naif. Tangannya memegang guting kecil. Selesai ‘mengerjakan’ kucing kesayangannya. Ah.. suci sungguh anak itu!

“Kenapa ye?” Ummu Salamah menggaru-garu dagu yang tidak gatal. Lama dia memikir. Sengaja membiarkan anak kecilnya tertunggu-tunggu. Padahal dia sudah mempunyai jawapan yang bernas!

“Limaja (limazha-kenapa) Mama?” tidak sabar. Keinginan untuk mengetahui jawapannya semakin membuak-buak. Mawmaw yang masih berada dipangkuannya direnung dalam-dalam. Sekejap-sekejap dia memeluk kucing yang kehilangan bulunya yang gebu itu.

“Sayang rasa kenapa?” soalan dibalas soalan. Ummu Salamah tergelak di dalam hati melihat keseriusan anaknya memikirkan jawapan.

Fatimah Az-Zahra buntu. Pandangannya kosong. Bibir mungilnya terjuih-juih.

“Haa.. anti dia tak tomel! Tul tak mama?” tangannya terangkat-angkat. Meraikan keseronokannya. Sukanyalah dia bila dah dapat jawapan yang dirasakan tepat. Comelnya Fatimah!

“Ahsanti! Mabruk Az-Zahra!” terjah Afiq Firdaus. Pipi tembam Fatimah dicium bertalu-talu. Anak kecil itu kegelian. Tangannya mencubit-cubit pipi babanya.

Ummu Salamah tertawa bahagia.

“Tapi kan sayang, cuba sayang tengok badan dia yang sayang gunting ni. Kesian dia sebab aurat dia terbuka. Malulah dia sayang.” Aku mencuba untuk menjadi ibu mithali yang hikmah berbicara dengan anakku.

Fatimah Az-Zahra terdiam sesaat. “Oh.. bila Jara (Zahra) potong bulu dia, dia macam tak pakai baju kan Mama?” soalnya kemudian. Ummu Salamah menganggukkan kepala. Bijaknya!

“Maaf Mawmaw, kakak guwau (gurau) je tadi. Nanti kakak pakaikan baju labuh kakak, biar Mawmaw tutup awat (aurat). Mawmaw tak marah kakak kan?” dia mencium Mawmaw bertalu-talu. Kucing itu menggeliat tidak mahu. Alahai, Mawmaw merajuk ke?

Aksi memujuknya membuatkan Ummu Salamah dan Afiq Firdaus tergelak sama. Mereka berpandangan sesama sendiri. Di mata mereka, terbayang kenangan sepuluh tahun lalu.

***

Ini semua Puan Farah punya pasal. Disebabkan pembantu Makmal Sains tu mengadu dekat Principal aku yang tambah asid dalam ujikaji 5 Sains 1 sampai meletup, kecoh satu sekolah bila Tuan Basir denda aku kawkaw punya. Memalukan betul.
Satu hari aku kena berdiri dekat dewan perhimpunan sambil menjunjung meja kayu. Meja kayu beb! Lepas tu aku kena cakap, “Saya yang bersalah. Saya janji saya takkan letupkan ujikaji sains lagi,” sampai kering tekak aku ulang-ulang benda yang sama. Teringat lagi bila time tu jugak ada bidadari dari langit yang baru masuk sekolah aku. Bertudung labuh, manis dengan sarung lengan yang hampir menutupi sebahagian atas tangannya juga. SubhanAllah! Cantiknya..

“Ustazah Aina!” tegur Tuan Basir bila nampak Ustazah Aina melintasinya.

“Iya, saya?” sahut Ustazah Aina.

“Ini pelajar baru yang bakal masuk ke kelas kamu. Tak silap saya, lepas ni kamu mengajar 5 Sains 1 kan?” soal jawab pun berlaku antara mereka. Yang aku ni, diam menelinga.

Wah! Memang jodoh, tak kemana kan? Ada chance! Dia sekelas dengan aku rupanya. Aduhai, menunduk je aku tengok dia dari tadi. Dia tak perasan ke aku yang hensem dekat atas dataran ni? mustahillah sebab punyalah macho posing aku dengan meja kayu ni siap ulang suara beratus-ratus kali.

“Oh.. ye ke. Baiklah Tuan, nanti saya bawak. Sebelum tu, bolehlah saya kenalkan dia dengan kawasan-kawasan sekolah ni.” teruja habis guru muda tu bila dapat tahu ada pelajar baru masuk. Maklumlah, ustazah yang sporting ni mana pernah anggap semua pelajar tu sebagai pelajar. Kitorang semua kamceng macam adik-beradik beb.

Mata tajam Tuan Basir sempat menjeling aku yang terdiam tiba-tiba tengok kecantikan dunia dihadapan mata.

Eh, cover cepat Afiq! “Saya yang bersalah. Saya janji takkan letupkan ujikaji sains lagi. Saya yang bersalah. Saya janji takkan letupkan ujikaji sains lagi. Saya yang bersalah. Saya janji takkan letupkan ujikaji sains lagi,” amik kau duk ulang benda yang sama jelah. Chantek punya cover line siap buat muka gaya askar nak rekrut lagi tu.

Tuan Basir berlalu. Tinggallah Ustazah Aina dan muslimah tu dihadapan bilik guru yang betul-betul di belakang dataran perhimpunan.

“Aaa.. siapa nama awak? Sebelum ni belajar dekat mana?” yeah, terima kasih Ustazah Aina. Aku memang nak tahu nama dia pun. Senang sikit nak tackle nanti. Hehe.

“Nama? Ummu Salamah bt. Abdul Hadi. Ustazah boleh panggil saya Ummu atau Salamah atau apa-apa yang baik. Sebelum ni saya belajar dekat SMIF.” Dia tersenyum sedikit. Ops! Senyumannya… Tapi sayang bukan untuk aku.

“SubhanAllah. Sedapnya nama. Saya panggil Ummu je, boleh?” a’ah. Ummu jelah ye? Hehe..

Ummu Salamah terangguk-angguk. Dengan tak semena-mena, mereka berdua berpaling menghadap aku yang khusyuk merenung dan menelinga perbualan mereka. Tergegau seketika melihat mata bulat yang pertama kali bertembung pandang dengan mata sepet aku ni. Kantoi!

“Saya yang bersalah. Saya janji besok saya letupkan makmal sains. Saya yang bersalah. Saya janji besok saya letupkan makmal sains. Saya yang bersalah. Saya janji besok saya letupkan makmal sains. Saya janji besok saya letupkan makmal sains,” akibat gemuruh dan berdebar tahap tak ingat, aku tersasul pulak sampai merapu merepek.

“Hahahaha. Kamu ni memalukan diri sendiri je Afiq. Letupkanlah lagi, letupkan.” Tawa Ustazah Aina menyedarkan aku ke dunia yang nyata.

Dengan gelak yang tak sudah tu, Ustazah Aina menarik Ummu Salamah mengekorinya. Alahai.. Malunya aku! Kalau aku tahu macam ni jadinya, memang tak ar nak letupkan ujikaji tu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Memang sesuai benar dengan aku. Adeh!

Tapi.. Ummu Salamah langsung tak gelak. Pandang lagilah.. haram! Ustazah Aina tu yang over-over bantai gelak. Kenapa ye? Dia tak suka dekat aku ke? Dekat sekolah ni mana ada budak perempuan yang tak terpikat tengok kekacakan aku ni. Diorang siap cakap muka aku ni ada iras-iras Randy Pangalila. Diorang gelar aku Randy Pangalila junior tau sebab muka aku lebih babyface daripada Randy. Tak cukup hensem ke tu? Baiklah Ummu Salamah, saya akan pikat awak sampai awak jatuh cinta dekat saya. Itu janji saya!

***

“Fiq.. Cepatlah! Kau ni lambatlah. Jangan lebih-lebih sangat wei. Kau buat apa tu?” Hazim sebal. Dah lima belas minit aku tunggu dia ni keluar dari Makmal Sains. Tak settle lagi ke ‘kerja’ dia tu?

“Sabarlah mangkuk! Aku nak buat style Mohawk ni. Kau cover guna mata jelah, bukannya mulut.” Mohawk? Gi-la! Jadi apa benda tu nanti? Naya je kalau kantoi.

“Aku tinggal kau kat sini tahu lah sudu..” Hah! Amik kau. Nak sangat guna bahasa kasar.

“Kejaplah.. Bisinglah kau ni,” dengus Afiq. Inilah susah kalau minta tolong Hazim budak 5 Akaun ni, membebel kalah perempuan. Tapi bila mengenangkan teruknya aku kena denda semalam, aku kena jugak buat benda ni untuk balas dendam dekat Puan Farah. Biar padan dengan muka dia.

“Weh, weh! Ada awek nak datang sinilah.” Suara cuak Hazim buat aku kelam-kabut. Kalau kantoi, memang habislah lagi teruk aku kena. Nasib aku tak berapa baik bila aku terlanggar meja Cikgu Suraya bila nak keluar daripada makmal. Gelabah punya pasal sampai kaki ni kebas semacam bila langgar meja besi ni.

“Aduhh.. Meja ni buta ke!” bunyi bising dari dalam makmal membuatkan Hazim tak senang hati. Berdiri macam tak cukup kaki je depan pintu makmal ni.

“Kau okay tak?” Meja pun dia boleh kata buta? Agak-agaklah..

Banyak soal pulak Hazim ni. Dia tak tau ke aku tengah sakit? Kucing ni pulak meroyan cakar tangan aku. Argh!

“Cepatlah Fiq, aweknya dah nak sampailah.” Ops.. Awek tadi dah sampai pun. Memang habis!
Tapi kenapa dia ni diam je depan pintu ni. Aku pandang dia, dia boleh pulak tengok buku yang menimbun dekat tangan dia tu. Tak nak minta tumpang lalu ke?

“Kau ni kecoh…..” ayat aku tergantung bila tengok Ummu Salamah ada depan mata. Gulp!

“Meow.. meow..” kucing kesayangan Puan Farah datang menggesel-geselkan tubuhnya di kaki Ummu. Ummu Salamah terkejut melihat keadaan kucing tu. Dahinya berkerut seribu.

Astarghfirullah al-azim.. ayat itu meniti perlahan dibibirnya. Bila dengar je kalimah keramat tu dari mulut dia, aku rasa ada batu besar yang menghempap kepala. Berat dan sakit.

“Kenapa dengan kucing ni? Takkan style bulu dia memang macam ni?” aneh! Mana ada kucing yang ada bulu style rambut budak punk.

Hazim tergelak mendengar desisan Ummu Salamah.

“Awak ni lawaklah. Ini baru style! Kalau awak nak tahu, Afiq designernya. Smart tak?” jujur sungguh Hazim ni! Muka aku ni rasanya dah merah. Marah+malu.
Riak wajah Ummu Salamah berubah.

“Tepilah. Ana nak lalu.” Tegas.

Dan aku.. terkedu dengan reaksi Ummu. Semalam dia masih boleh tersenyum, tadi pula memamerkan reaksi tenang dan sekarang wajahnya.. tampak marah.

Hazim memberi laluan kepada Ummu Salamah. Takut melihat wajah garang gadis itu.

“Awakk.. Saya tak sengaja. Saya boleh jelaskan semua ni,” bersungguh-sungguh aku minta maaf dekat dia. Tapi dia menonong masuk ke dalam bilik guru-guru sains di makmal itu dan keluar beberapa saat selepas itu.

“Saya minta maaf. Saya buat semua ni bukan nak main-main. Saya ada alasan yang kukuh.” Afiq Firdaus masih merayu menagih perhatian.

“Minta maaf bukan dengan ana, tapi dengan yang selayaknya. Menyeksa binatang adalah berdosa, lagi-lagi binatang kesayangan Rasulullah. Walaupun niat anta mungkin baik, tapi niat tak menghalalkan cara.” Datar tidak bernada tanpa memandang langsung dekat aku. Tiada gaya marah dan tiada riak tenang. Sukar untuk ditafsir reaksinya. Ummu keluar dari Makmal Sains tanpa menoleh lagi. Dia buatkan aku serba salah yang teramat sangat. Sekali lagi aku buang diri aku sendiri dari senarai lelaki idamannya kan?

Kucing yang menggesel-geselkan tubuhnya dikakiku membuatkan aku rasa bertambah berdosa. Bulunya yang gebu sudah aku reka dengan style Mohawk menggunakan gel rambut Brylcream dan aku gunting dibahagian tepinya untuk menambahkan ‘wow’ di situ. Tapi sekarang.. Ummu Salamah.. saya kena minta maaf.. pada yang.. selayaknya? Siapa? Puan Farah? Argh..!

***

Cikgu Hayati baru usai mengajar Bahasa Melayu. Cikgu baru keluar beberapa langkah, kelas mula hingar macam pasar. Well, 5 Sains 1 katakan.. SPM? Lepak, chill, sempoi je. Semua gila-gila otak bakal student medic tak matang. Hoho.. 

Dari meja aku, macam-macam ragam boleh tengok. Maklumlah, duduk belakang sekali. Kalau time belajar budak-budak ni tidur, memang confirmlah kena ‘kerja’ dengan aku dari belakang. Haha. Nasib dioranglah.. Siapa suruh duduk depan kan?

Mata aku memanah ke arah Ummu. Dia tengah bergelak ketawa dengan Izaty dan Shada yang menyibuk dekat meja dia. Wait, wait.. dia ketawa? Hmm.. impressive! First time aku tengok dia gelak macam ni. Nasib akulah cuma dapat stalker..

Kalau depan budak lelaki, mana ada dia nak gelak. Entah apa yang dia malukan, aku pun tak tahu. Cuba senyum sikit bila jumpa lelaki. Bagi salam ke, tegur-menegur ke, kan baik? Ustazah aku kata kita kena mengeratkan silaturrahim, jangan bermusuhan. Bukannya lelaki ni nak ambil kesempatan dekat dia, tak suruh pun sampai bersalaman. Just senyum je bila jumpa budak lelaki, tak boleh ke? Senyum. Berkenalan pun tak, nak menegur apanya. Hampeh. Sombong punya perempuan!

Ting tong ting tong!

Bunyi alarm announcement tak diamkan pelajar-pelajar 5 Sains 1. Tetap bising jugak. Haih..

“Wei.. diam ar! Ada announcement tu!” aku bertempik. Haa, ternganga semua. Kelam-kabut diorang duduk dekat tempat masing-masing. Hahaha. Tulah, siapa suruh bising. Ada jugak yang  kena marah dengan aku karang.

“Helo. Sapa-sapa yang buli kucing Bibo saya, jumpa saya dekat Makmal Sains sekarang. I said now!” mak aii.. bukan sikit punya marah. Tak ada salam, ucapan terima kasih ke apa. Entah cikgu manalah tu.. Kucing dia? Bibo?

Zapp!

Bagai nak tercabut jantung aku bila mencerna ayat-ayat tu. Dengan serentak, mata aku dan Ummu Salamah bertemu pandang. Dia cepat-cepat melarikan pandangan. Iya, aku faham maksud pandangannya tu. Aduh. Habislah..

“Siapalah yang nak buli kucing Puan Farah yang garang nak mampus tu. Memang cari penyakitlah kan?  Hahaha.” Zarith yang duduk di sebelah aku, menepuk kuat bahu aku sambil gelak-gelak meroyan. Menyampah aku dibuatnya. Dalam kes ni, cuma aku, Hazim, Zarith dan Ummu je yang tahu. Kalau kantoi, memang habis.

“Kau pehal? Nak cari gaduh?” bengang dengan perlian Zarith.

“Haha.. rileks lah bhai. Gurau pun tak boleh?” dia gelak lagi dan lagi. Tak nampak ke aku sikit punya marah ni?

“Kalau aku dapat tahu kau dengan Hazim bocorkan rahsia, siaplah.” Ugutku. Zarith menjelir lidah tanda dia tak takut langsung dengan ugutanku

Tapi, kalau Ummu yang mengadu macam mana? Dia jenis yang kaki mengadu jugak ke? Takkan dia nak jaga tepi kain orang? Masalahnya dimata dia, aku nampak kebencian dia terhadap aku. Argh! Pedulikan semua tu. Dia nak benci aku ke, nak mengadu dekat Puan Farah tentang perbuatan aku tadi, biarkan. Semakin dia jauhkan diri dari aku, semakin banyak cara akan aku lakukan untuk dapatkan cinta dia dan couple dengan dia.

Ummu Salamah keresahan di tempat duduknya. Bukannya dia buta sampai tak nampak perbuatan pemuda yang tidak dikenali namanya itu. Dari tadi lagi dia merenung aku sambil tersengih jahat. Na’uzubillah! Menyeramkan.

***

“Hari Koperasi hujung minggu ni, jangan lupa datang tau.” Izaty mengingatkan Ummu. Maklumlah, pelajar baru ni kadang-kadang tak biasa dengan perjalanan sekolah lagi.

“Hari Koperasi tu apa? Biasanya kalau Hari Koperasi, ada apa je ye?” Ummu Salamah melontarkan kemusykilannya. Iyelah, sekolah lamanya mana ada Hari Koperasi ke apa. Benda apalah tu..

Tiba-tiba ada suara yang menyampuk. “Hari Koperasi ni hari usahawan yang kita adakan setiap tahun. Kalau awak nak tahu, time tu pelbagai jualan diadakan. Semua pelajar ikut serta tau. Dan tahun ni, pelajar lelaki 5 Sains 1 nak buat karaoke. Satu lagu RM2. Mesti gempak punya!” Suasana meja itu terus sunyi. Krik, krik, krik..

“Nanti awak jangan lupa nyanyikan satu lagu untuk saya. Awak minat lagu genre apa? K-pop, rock ke.. Haa! Mesti awak minat nasyid kan? Suara awak mesti sedap. Saya teringin nak dengar.” tak henti-henti lagi dia ni bercakap. Dia tak sedar ke kata-kata dia tu amat menyedihkan aku? Dia ingat aku ni perempuan murahan ke nak pertontonkan suara aku ni? Astarghfirullah.. Kau hadirkanlah kesabaran kepadaku Ya Allah..

“Ana bukan perempuan murahan. Maaf.” Ummu Salamah bangkit lantas berlalu meninggalkan mereka dengan ucapan maaf. Hatinya sakit. Sakit dengan suasana baru yang harus dihadapinya.

Disebabkan ibunya terpaksa dipindahkan mengajar di sekolah rendah di kawasan ini, mereka sekeluarga juga harus berpindah. Kehilangan ayah lima tahun lalu membuatkan dia, ibu dan Abang Uzair mula belajar berdikari. Allah meminjamkan sandaran bahu mereka sudah cukup lama, maka mereka redhakan Allah mengambil kembali hakNya. Sesungguhnya daripada Allah kita datang, pada Dia juga kita kembali.

Afiq Firdaus terpinga-pinga.

“Aku tak cakap pun dia tu perempuan murahan. Ada ke?” soal Afiq. Sebal. Cuba kalau ada kesilapan yang aku buat, dia tegur cara baik. Aku nak tahu kesalahan aku!

“Masalahnya kau suruh dia menyanyi, sama je kau anggap dia tu macam perempuan murahan. Suara dia terlalu mahal untuk dibayar dengan harga RM2.” Herdik Shada. Afiq Firdaus terpempan.

“Habis tu, suara dia tu harganya sejuta.. macam tu? Nyanyi je wei, bukannya suruh buka aurat ke apa.”

“Woi mangkuk, suara perempuan yang mendayu-dayu tu auratlah!” Izaty menyampuk. Marah. Tak mengerti dengan Afiq yang seolah-olah tidak faham hukum. Ustaz ustazah ceramah selama ni telinga dia dekat mana?

“Bila masa pulak? Ustazah Aina kata suara perempuan tu bukan aurat.” Masih mahu mempertahankan pendapatnya.

“Memanglah bukan. Kalau tak aku tak nak bercakap dengan kau. Tapi yang aku maksudkan, suara perempuan tu boleh jadi fitnah kalau menyanyi sampai mendayu-dayu. Bila dah membangkitkan syahwat lelaki dan buat orang lupa pada Allah, haram lah wei. Dia buat suara sekeras mana pun, tetap ada alunan pada muzik yang lenggok-lenggok tu. Lebih baik tak payah nyanyi, ada paham?” getus Izaty. Kalau tak faham jugak, tak tahulah aku nak kata apa.

Dahi Afiq Firdaus berkerut seribu. Aik, macam tu ya? Kenapa aku tak tahu?

“Sebab kau tak pernah nak ambil tahu dan tak pernah nak selidik, kan?” sambung Shada seolah-olah mendengar luahan hatinya. Erk? Dia hanya mampu tersenyum menutup malu.

***

Hari Koperasi berlangsung dengan meriah. Pelajar permpuan 5 Sains 1 membuka gerai makanan. Lelaki pulak.. seperti yang dicadangkan, diorang buka tempat karaoke dekat atas dataran. Yang bagusnya, diorang ni awal-awal dengar usul Afiq Firdaus yang perempuan dilarang menyanyi. Masa dengar je Afiq cakap macam tu, semua ternganga tak percaya.

Tepukan gemuruh dari tengah dataran menarik minat Ummu untuk memerhati.

 “Lagu ini saya tujukan khas buat seorang muslimah. Yang saya sukai dalam diam. Tajuknya saya dah ubah. Terimalah lagu daripada saya, Ummu Salamah..”

Kau ibarat permata di dalam hiasan kaca
Yang tak bisa disentuh
Namun hanya boleh dipandang
Ingin sekali ku sentuh
Ingin jua ku memiliki


Kau selalu membuat hatiku merasa berat
Dan kau yang selalu ada
Saat semua pergi
Bagaimana mungkin
Untuk kau mengerti


Kini telah ku sedari
Mimpiku tak bererti sendiri
 

Seandai kau tahu
Apa yang ku mahu
Mahukan dirimu ‘tuk mendekatiku
Dan aku tak bisa memaksa dirimu
Walau dalam tidur
Ku kan menantimu hingga akhir nanti


Selesai je Afiq menyanyikan lagu itu, semua pelajar yang mendengar bersorak. Entah apa yang seronoknya. Ternganga aku di buatnya. Lagu Sofea Jane boleh pulak jadi lagu Ummu Salamah? Melampau lelaki ni.. Ya Allah, peliharalah maruahku. Jauhi aku dari fitnah duniawi ya Allah..

***

Ustazah Aina mengusap-usap bahu Ummu Salamah yang terhinjut-hinjut menangis. Semakin dia memujuk, semakin kuat tangisan gadis itu. Mujur bilik kaunselingnya tiada tetamu atau pelajar yang menjengah. Gusar jika mereka memikirkan yang bukan-bukan. Lagi pula guru-guru yang ditempatkan di bilik ini juga baru saja pulang.

“Sabarlah sayang. Redhakan segalanya. Saya percaya yang awak akan kuat di sini.” Ustazah Aina tak henti-henti memujuk.

“Muslimin tu menakutkan saya. Boleh pulak dia suruh saya menyanyi masa Hari Koperasi semalam. Lepas tu, dia pulak yang menyanyi lagu untuk saya. Saya benci perbuatannya ustazah!” luahnya. Serasa ingin menjerit sekuat hati bagaikan orang hysteria. Tetapi apabila mengingatkan dia masih punyai iman, dia pujuk hatinya sendiri. Cukuplah hanya menangis.

“Iya, sayang.. tapi cuba cakap siapa gerangannya muslimin yang buat awak sakit hati sangat ni?” soal Ustazah Aina. Tak penat berkoreksi.

“Saya mana tahu nama dia ustazah.” akuinya jujur.

“Aik, sekelas pun tak tahu?”

“Saya tak kisah pun nama dia siapa. Yang penting semua memori saya tentang dia, amat menakutkan. Mula-mula kena denda angkat meja dekat dataran. Hari tu pulak dia.. aaa..” aku tak jadi menyambung bicara tentang kucing Puan Farah bila tersedar perkara itu masih tidak diketahui oleh pihak guru-guru. Aku bukan nak bersubahat, tapi aku nak dia yang mengakui kesalahannya sendiri.

“Oh.. Maksud kamu, Afiq Firdaus tu?” Ustazah Aina melerai kekusutan aku tentang pelajar yang penuh dengan masalah itu.

“Dialah tu kot..” tidak berminat mengulas lanjut. Yang pasti air mata ni berdegil tak mahu berhenti mengalir.

“Patutlah semalam dia menyanyi lagu Sofea Jane. Saya tak dengar sangat. Tak tahu pulak lagu tu ditujukan untuk awak. Ummu, dia memang macam tu. Tapi dia taklah sejahat yang awak sangka. Cuma tak ada siapa yang nak ajar tentang agama je. Hidup tak pernah nak kenal makna berdisiplin. Remaja lelaki yang baru nak kenal dunia, memang begitulah Ummu. Tapi kalau ada benda baru yang dia belajar, dia cekap take note tau.” Iye ke? Tapi takkan sampai nak menakutkan aku?

“Walaupun benda tu buruk bagi dia?”

“Begitulah gamaknya.. Awak pedulikan je dia. Dia bukan jenis yang melayan perempuan, percayalah. Walaupun ramai yang minat dekat dia, bukannya dia layan. Main-main tu biasalah. Tapi dengan awak ni, pelik sikit kot. Saya tak pernah pulak dengar dia buat kes kacau anak dara orang ke. Budak tu mana suka bercinta ke apa, kerja dia buli budak junior, kacau guru-guru, rosakkan kemudahan sekolah. Yang remeh-remeh jelah. Kuatkanlah hati, sayang..” Jelas ustazah panjang lebar. Kenapa dengan aku dia suka pandang lain macam? Aku ni mangsa buli dia jugak ke?

“Saya takut dengan dia, ustazah. Pandangan dia, senyuman dia buat saya seram. Di mana je saya ada dekat setiap sudut sekolah ni, dia pun mesti ada sekali. Bencilah.. Pada dasarnya saya memang mampu bina kekuatan sendiri, tapi atma saya terusik setiap kali saya cuba hadapi semua ni. Saya tak biasa dengan persekitaran saya yang baru. Pasangan couple duduk berdua dekat kantin makan rapat-rapat, study sama-sama, muslimin tu pulak tak reti jaga pandangan. Saya takut saya jauh dari Allah, ustazah..” bertambah kuat tangisan aku. Siapa boleh tahan tengok pasangan-pasangan couple menggedik macam tu? Huih, kahwin dululah kawan..

Dengan perangai Afiq Firdaus yang tak semenggah tu. Huh!

“Awak tak boleh anggap mereka semua tu jahat. Mereka sasaran dakwah awak, Ummu Salamah. Kalau awak nak semua orang bertudung labuh macam awak, baik macam awak apa ertinya dakwah Ummu? Salahkah mereka jika mereka jahil tanpa bantuan? Orang mungkin pandai berkata-kata menghina, tapi tak pandai nak menghulurkan tangan. Saya bercakap melalui pengalaman. Saya pernah berada di tempat mereka. Mungkin beginilah pandangan orang terhadap saya dahulu.” Ustazah Aina tersenyum dalam tangisan. Ustazah mengalirkan air mata? Ya Allah.. gugur hatiku melihat air matanya tumpah.

“Saya minta maaf, ustazah. Ya Allah.. Saya tak maksudkan macam tu. Asifni (maafkan saya) ustazah..” bersungguh-sungguh Ummu Salamah memohon maaf daripada Ustazah Aina. Tangan guru kesayangannya itu di cium bertalu-talu.

Astarghfirullah al-azim.. apa yang aku ucapkan tadi? Mengapa aku mengeluh sedemikian rupa hingga mengguriskan hati ustazah? Yang seharusnya dipersalahkan dalam hal-hal yang aku katakan tadi pastinya adalah aku! Aku sendiri yang tidak pernah menegur kesilapan pelajar-pelajar itu. Malah aku hanya memandang tanpa menyahut ajaran dakwah Rasulullah sebagaimana sabdanya yang bermaksud : “Barang siapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika sekiranya ia tiada mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Maka sekiranya ia tiada juga mampu, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Oleh Muslim).

Ustazah Aina menarik Ummu Salamah dalam pelukannya. “Awak tak bersalah. Awak perlu bangun dari lena yang panjang. Saya faham, awak mungkin terkejut dengan suasana ni. Sekolah lama kamu dulu semua perempuan kan? Awak masih dalam tarbiyah suasana baru.” Sekejap-sekejap dahi Ummu Salamah dikucup syahdu. Kepala gadis itu di usap-usap lembut.

“Suasana ni terlalu asing. Ya, saya perlu kuat.” Kata-kata itu terucap seiring dengan semangat baru.

“Islam datang dengan cara asing, maka ia akan kembali dengan cara yang asing juga. Dakwah Rasulullah lagi hebat dari kita. Come on sayang, perjuangan ini belum terhenti di sini. Awak generasi penerus perjuangan, bukan pemula dan bukan pengakhiran. Ayuh anak muda!”Amboi.. tiba-tiba bersemangat pulak ustazah ni. Siap julang tinggi tangan dia. Wah!
Ummu Salamah tersenyum. Air mata di sapu bersih.
 
“Syukran ustazah. InsyaAllah.. Saya sayang ustazah sangat-sangat!” dia tertawa. Malu sebab menangis lebih-lebih sangat. Macam drama pulak.

“Saya pun sayang awak. Selama enam tahun saya mengajar dekat sini, tak pernah tau ada anak murid yang dapat peluk saya lama-lama macam tadi. Siap menangis sampai basah tudung saya. Haha..” suasana bertukar ceria.

“Kiranya saya ni special lah ni ye?” Ummu tersenyum mengusik.

“Perasan.. semua anak-anak didik saya special, cuma awak yang advance buat tudung saya basah.”

“Alaa.. asifni ustazah. Bukannya comot mana. Ustazah punya tudung tu tak mencacatkan muka comel ustazah, don’t worry.” Ustazah Aina tersipu-sipu malu bila aku puji dia. Alamak, sangat bahaya..

“Tak apa, tak payah bodek saya. Awak tak cakap pun saya dah lama tahu apa yang tersirat di fikiran awak.” Matanya dikerdip-kerdipkan. Ya Allah! Menyampahnya aku tengok. Hahaha. Guru kaunseling berkelulusan master fiqh dan psikologi ni guna modal membaca fikiran orang pulak.

“Hee.. ustazah ni tak boleh dipuji lebih-lebih. Siapalah yang malang sangat dapat ustazah ni. hahaha.” Terjegil mata Ustazah Aina bila aku cakap macam tu. Kami dah macam kakak dan adik, sebab tu bergurau pun selamba je. Adeh, jangan menyakiti hati ustazah sudahlah..

Tiba-tiba dia mengeluarkan sesuatu. Kad.. perkahwinan?

“Itulah, malangnya dia sebab nak kahwin dengan saya..” ustazah tergelak-gelak mengada. Aku pula yang melopong.

***

Terkocoh-kocoh aku berlari. Macam dah tak cukup kaki ni. Dari jauh tak henti-henti suara itu memanggil-manggil namaku. Tak sanggup aku nak berhenti dan melayan dia. Gaya macam Putera kejar Puteri Cinderella bila jam dah berdenting pukul dua belas tengah malam je. Tapi kes aku ni, aku bukan Cinderella. Aku bagaikan seorang manusia yang dikejar zombie. Menakutkan!

“Ummu! Tunggulah saya!” entah macam mana, mamat ni boleh pulak saingi langkah kaki aku yang berkain hitam ni. Huhu.

Kalau ikutkan hati aku, dah lama aku tarik tinggi kain aku pastu lari laju-laju. Maklumlah, aku pakai seluar panjang dekat dalam. Ustazah aku dulu pernah cerita tentang kisah seorang perempuan pada zaman Rasulullah yang jatuh daripada kuda 
dan kainnya terselak. Tetapi dia dipuji oleh Rasulullah sebab memakai seluar di dalam kainnya. SubhanAllah! Banyak faedah kita memakai seluar panjang kan?

Tapi dalam kes aku ni, dah terlambat nak fikir! Tak manis kalau tiba-tiba aku angkat kain.

Afiq Firdaus menahan aku. Dia berdiri di hadapan aku dengan memegang sekuntum mawar putih, sekotak coklat yang aku lupa jenamanya dan sebuah sampul berwarna ungu lembut..?

“Kenapa awak buat saya macam ni? Penat tau..” dia termengah-mengah. Nafasnya tidak teratur. Siapa yang suruh dia kejar aku.

Aku menutup mulut mengawal lelah. “Cepatlah.. Anta nak apa? Kalau tak ada urusan penting, tak usah kejar-kejar ana.” Datar. Aduhai.. kami dah jadi tontonan pelajar yang lalu-lalang pulak. Yelah, berhenti betul-betul dekat laluan ilmu.

“Memanglah ada hal penting. Ni, saya nak bagi benda ni.” Dia menghulurkan segala benda yang dipegangnya kepada Ummu yang melongo terkejut. Afiq tertunduk malu.

“Selamat hari lahir, Ummu Salamah. Sebenarnya saya nak cakap yang saya.. err.. saya suka.. haa..” alamak! kenapa gagap pulak aku ni? Tadi dah karang ayat baik punya. Mana perginya ayat aku ni?

Dengan perasaan yang berkecamuk, Ummu Salamah berlalu pergi meninggalkan Afiq Firdaus yang masih menunduk menyusun ayat.

“Saya suka dekat awak. Ya, saya suka awak.” Fuh! Akhirnya..

Eh. Mana Ummu? Afiq terpinga-pinga apabila dia mengangkat wajah, Ummu sudah tiada di hadapannya.

Apabila dia masuk ke dalam kelas, semua pelajar sudah tiada. Mungkin sudah ke dataran perhimpunan kerana setiap pagi mereka harus berkumpul di situ sebelum memulakan pelajaran.
Dengan perasaan yakin, Afiq Firdaus meletakkan hadiahnya di bawah meja Ummu. Aku harap dia terima. Susahnyalah nak pikat muslimah yang seorang ni. Haih.. aku bukannya pernah pikat orang pun.

***

Takut, sebak, kecewa, resah, semua rasa bercampur-baur. Yang pasti tiada satu perasaan pun yang manis untuk dirasai tika ini. Kecuali nikmat ujian. Iya, mungkin Allah sedang menguji kekuatan imanku tika ini. Adakah aku akan mengalami perasaan yang wajar dirasai oleh para remaja sebagaimana fitrahnya? Inikah masanya? Astarghfirullah..

Dengan langkah longlai, Ummu Salamah membawa kotak coklat berbentuk kiub dan sampul surat yang masih belum dibuka menuju ke bilik Uzair. Berat hati sebenarnya nak cerita semua ni pada abangnya. Tak pasal-pasal dia suruh aku pindah sekolah lagi macam mana? Tapi mengingatkan perkara ini wajib berada dalam pengetahuannya, aku terpaksa jugak bagitahu. Dia mahram aku, aku tak nak dia salah faham dengan semua ni.

Teragak-agak aku menolak pintu yang sememangnya tidak ditutup rapat.

“Salam ‘alaiyk abang..” ops.. Dia tengah menangislah. Kenapa pulak ni?

Uzair cepat-cepat mengesat air mata yang membasahi pipinya. Alamak.. malulah lelaki menangis macam ni. Tak gentle beb! Tapi pemuda yang menangis kerana Allah banyak pahalanya. Maknanya hati dia lembut tau..

“Abang.. kenapa ni?” nak tak nak je rasanya aku masuk bilik dia. Yelah, mana pernah dia kantoi menangis macam ni. Last aku nampak dia menangis pun masa ayah meninggal dunia. Lepas tu dia tak pernah menangis depan aku. Masa raya lagilah, aku je yang selalunya over. Huhuhu.

Aku usap bahunya perlahan-lahan. Eceh, gaya memujuk tahap feeling baik ni.

“Sshhh.. Buruklah abang menangis. Bakal Engineer mana boleh menangis macam ni. Hati kenalah kental.” Pujukku.

“Mana ada abang menangis. Tapi Engineer tu manusia jugak kan? Salah ke seorang Engineer tu menangis?” Uzair menafikan. Alahai abang aku ni, dah kantoi nak corner sana sini pulak..

“Iyelah.. touching pulak.”

“Mana ada. Betullah, Engineer pun ada perasaan jugak. Penciptaan hati itu sangat lembut dan istimewa. Mudah tersentuh dan di sentuh. Ada kalanya bibir sendiri tak bisa mengungkapkan bicara hati. Tersimpan kemas dalam lipatan sanubari. Rahsia yang hanya Dia yang tahu. Lelaki ni bukannya tak ada perasaan, tak menunjukkan rasa hati yang luka tu tak bermaksud dia tak berperasaan mahupun tak merasa kecewa. Cuma keegoaan dan sifat tidak kenal putus asa yang buatkan lelaki ni kuat tau.” Bermadah bukan main panjang. Aku tak tanya pasal hati dan perasaan pun.

“Apa yang abang melalut ni? sejak bila jadi mat jiwang? Lain macam bunyinya tu..” aku tergelak bila tengok dia tersipu-sipu malu. Haha. Mungkin baru sedar keterlanjuran bicara. Kulit dia yang putih itu menampakkan pipinya yang dah membahang. Blushing.

“Tak ada apa-apalah. Eh. Coklat untuk abang ke?” Uzair membetulkan sila di atas katil. Menukar topik. Kotak coklat yang dipegang oleh Ummu di belek-belek. Terangkat tinggi keningnya.

“Ada orang bagi coklat dekat birthday girl ke?” tersenyum meleret. Senyuman yang jahat sungguh!
Tapi aku tak terasa nak senyum langsung. Aku bukannya macam gadis-gadis yang biasa, akan tersipu-sipu malu dan tersenyum sepanjang hari apabila dihadiahkan sesuatu oleh lelaki yang sah bukan mahramku!

“Kenapa ni? Cuba cerita dekat abang..” mungkin apabila melihat ketegangan muka aku ni, Uzair tak nak usik lebih-lebih. Dia memang abang yang memahami.

“Coklat ni, ada sorang muslimin yang bagi.” Mukadimah yang pendek dan padat yang buat abang memahami aku.

“First time dengar perkataan ‘lelaki’ selain ayah, abang, pakcik, atuk, tok wan dalam hidup adik.”
Itu kenyataannya. Aku bukannya ada saudara-mara lelaki untuk di sebut-sebut. Semua lelaki dalam hidup aku adalah mahram aku sendiri, yang aku bebas ketawa atau menjadi diri aku sendiri. Memang nampak kolot, tapi aku memang hidup rapat dengan orang-orang itu sahaja selama ni. Dari tadika hinggalah seminggu yang lalu aku bersekolah di sekolah perempuan. Korang tak rasa aku ni boleh kena kejutan budaya ke? Fuhh..

“Adik tak sebut lelaki pun. Muslimin, sopan sikit.” Abang tergelak je tengok mulut aku yang terherot-herot tu.

“Tapi adik betul-betul tak suka dengan dia. Senyuman dia, usikan dia, pandangan dia semuanya menakutkan. Abang tolonglah.. I need you in my school!” rayuku. Tengok, manja lebih-lebih aku ni. Mustahillah abang aku nak ikut aku pergi sekolah kan?

“Ya Allah.. parah beno adik ni. hahaha. Adik serius ke nak abang pergi sekolah sekali?” senyumannya yang semanis gula tu buat aku menyampah. Mulalah nak usik aku tu..

“Adik dah besar tau. Dah form 5, bukannya darjah lima atau lima tahun lagi. Adik kan ada Allah, pedulikan dia kalau adik tak suka. Buat dia macam tiang bendera.” Uzair tergelak lagi dan lagi.
Sesungguhnya aku pernah berada sebagai ‘tiang’ yang aku usulkan untuk Ummu lakukan itu. Suatu ketika dulu, muslimah solehah yang aku puja dalam diam juga menjadikan aku ‘tiang’ selepas aku meluahkan perasaan padanya. Itulah, ikut nafsu remaja sangat. Sekarang ni, khabarnya pun aku tak tahu. Aduhai..

“Memang plan nak buat dia macam tembok, tapi adik still ada sifat berperikemanusiaan sikit.” Amboi. Membela pulak Ummu oii?

“Aik.. dah tersuka dekat dia ke?”

“Na’uzubillah. Mana ada! Adik tak maksudkan macam tu. Wahai abang, maruah orang pun kita kena jaga. Kita tak boleh nak sakitkan hati orang sesuka hati. Kalaupun adik tak suka dia, mungkin adik boleh guna cara yang baik untuk menolak dia dari mengganggu adik.”

“Kalau adik berlembut, nanti dia ingat adik beri harapan pulak.”

Ye tak ye jugak kan? “Bila masa adik guna cara lembut? Adik kata nak guna cara yang baik, bukan lembut. Oh.. abang ingat bila dia bagi surat, adik pun kena balas surat dia? Itu baru beri harapan yang tak pasti.”

“Eh. Adik tak cakap pun dia ada bagi surat?” soal Uzair. Muka dia macam ceti minta hutang je.
Ummu menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Sampul yang berwarna ungu lembut dikeluarkan daripada poket seluar. Cepat je Uzair ni buka dan baca isi kandungannya.

Tiba-tiba senyumannya bertukar pahit.

“Kenapa bang?” risau melihat reaksinya yang berubah mendadak itu.

Kepala Uzair tergeleng-geleng. “Dengar ye..”

Assalamualaikum bidadari..
Maaf jika kehadiran surat ini mengganggu anti (ana sedang berlatih menggunakan kata ganti nama ‘ana anta anti’ sebab anti selalu guna. Hehe)

Ana tak tahu kenapa sejak anti masuk sekolah ni, hati ana tak keruan. Selalu teringatkan anti. Ana bukan sengaja nak buat anti rasa tak selesa dengan ana. Tapi ana nak anti tahu, ni pertama kali ana sukakan muslimah seperti anti hingga terleka sendiri.

Ummu Salamah, salah ke perasaan ana ni? salah ke ana menegakkan rasa yang bertapak dalam hati ana? Ana tak main-main dalam soal hati dan perasaan. Walaupun kita baru form 5, tapi ana rasa kita dah cukup matang untuk menghurai segala yang berlaku ini.

Ana ada satu permintaan.. bolehkah walau sekali saja anti tolong beri sebab dan penjelasan di atas segala kesilapan ana? Selama ni, anti terlalu berkasar dengan ana. Ana tak salahkan anti kerana itu mungkin memang sikap anti yang sebenarnya. Tetapi ana minta, berikanlah sebab yang jelas dan tidak membuatkan ana tertanya-tanya. Anti selalu tinggalkan ana dengan persoalan. Kadang-kala ana terfikir, hina sungguhkah ana dimata anti? Segala kata-kata ana pasti ada yang tidak kena. Mengapa segala perbuatan ana tidak pernah mendapat tempat di hati anti? Dimana silapnya?

Maafkan ana kerana berlebihan. Mungkin penolakan anti buatkan ana lebih jatuh.. jatuh pada seorang wanita yang keras hatinya. Mungkin jatuh cinta? Ana pernah berjanji.. berjanji untuk mendapatkan cinta anti. Tapi nampaknya ana bakal menemui jalan buntu.. betul ke?

Ingat lagi lagu ni? ana Afiq Firdaus,memaknakannya.. Anti ibarat permata antara kaca!

Kau ibarat permata di dalam hiasan kaca
Yang tak bisa di sentuh
Namun hanya boleh dipandang
Ingin sekali ku sentuh
Ingia jua ku miliki

Kau selalu membuat hatiku terasa berat
Dan kau yang selalu ada saat semua pergi
Bagaimana mungkin untuk kau mengerti
 
Kini telah ku sedari
Mimpiku tak bererti sendiri

Seandai kau tahu apa yang ku mahu
Mahukah dirimu tuk mendekatiku
Dan aku tak bisa memaksa dirimu
Walau dalam tidur ku kan menantimu
Hingga akhir nanti

Suara Uzair yang merdu itu membuatkan aku mengalirkan air mata. Sebak. Aku sendiri tak pasti untuk apa air mata ini. Kerana lagu ini ditujukan untuk aku oleh seorang lelaki yang salah percaturannya atau kerana ia dinyanyikan oleh abang?

“Abang.. dia tak patut buat macam ni. Dia salah percaturan. Jika ini ditujukan buat adik dengan cara yang halal, adik terima dengan ucapan syukur pada Ilahi. Tapi abang, dia salah meluahkan sesuatu yang bukan lagi haknya. Dia dan adik masih ada batas yang tidak melayakkan dia untuk buat semua ni sebenarnya. Kenapa dia tak boleh faham yang antara kami ada batasan perhubungan yang dia tak boleh sambalewa melanggarnya?” sedih, memang sedih bila seorang lelaki melakukan begini kepada aku.

Jika dia mampu mendengar bisik hatiku, ingin aku katakan pada dia. ‘Maaf.. aku bukan yang halal buatmu untuk memadu kasih penuh dusta. Caramu salah untuk meluahkan rasa wahai pemuda.. Kau ada Ilahi yang Maha Mendengar setiap rasa dalam hatimu, mengapa kau lebih memilih surat ini sebagai perantara daripada memilih doa penuh syahdu sebagai bukti cinta? Antara surat dan doa, mengapa surat yang kau pilih wahai syabab?’

Uzair memeluk aku erat. Kepala aku diusap-usap lembut. “Dia tak tahu. Jangan salahkan dia, dik..”

“Kenapa dia tak gunakan perantara yang tsiqah (boleh dipercayai yakni adil) sekalipun kalau nak bagi surat ni? Dia boleh rujuk pada ustaz atau ustazah dulu. Dia tak patut buat macam ni. Bila dia buat macam ni, perasaan tidak suka makin menebal dalam diri adik. Adik tak boleh terima.”

“Sshh.. Adik, dengar ni.” tegas. Bahu aku di cengkam kejap.

“Mungkin dia tak sama dengan adik. Adik sekolah agama dan dia mungkin tak. Adik ada pendekatan tarbiyah Islamiah dan mungkin dia tak. Dia dan adik dalam dua dunia yang berbeza. Tapi bila bab perasaan, mampu ke kita nak menafikan fitrah? Macam yang abang cakap awal-awal tadi, penciptaan hati adalah perkara yang terlalu istimewa. Adik boleh membenci dia, tapi adik boleh tak buang perasaan dia pada adik? Bukannya mudah dik. Mungkin memakan masa bertahun lamanya untuk hilangkan rasa tu. Abang dapat agak, dia ikhlas. Tapi cara dia salah. Dia tak minta couple dengan adik pun. Ajak bercinta dengan cara yang salah pun tak kan? Surat ni.. luahan ni.. hanya coretan rasa. Iya, pengakuan sebuah rasa.” Aku dengar esakan. Abang Uzair menangis.

“Pada mulanya memang sedih bila ditolak. Lelaki paling tak suka bila ditolak oleh seorang perempuan yang betul-betul dia cinta. Rasa tu sakit sangat. Tapi kan kita ada Allah. Kenapa perlu risau dan takut? Orang yang beriman, dia takkan mempersoalkan bila, dimana, bagaimana dan siapa jodohnya. Bila tiba waktu yang tepat, jodoh dari Allah akan hadir dengan pelbagai cara. Sama ada dengan cara yang baik mahupun tak, itu bergantung pada diri kita jugak. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Adik percaya janji Allah kan?” aku mengangguk dalam dakapannya.

“Allah menciptakan wanita ini sangat cantik. Bukan lahiriahnya saja, tapi rohaninya juga mampu menjatuhkan seorang lelaki. Abang pernah berada di tempatnya. Bila ingat balik, lawak.. Terlalu obses pada dunia kerana seindah perhiasan dunia adalah wanita solehah. Memang betul, abang jatuh cinta dengan agama seorang muslimah solehah. Tapi abang jadi macam Afiq Firdaus ni lah, salah caranya.” Pengakuan Uzair mengejutkan aku. Diam-diam ubi berisi rupanya.

“Tegur dia dengan hikmah, adik..” sesungguhnya aku speechless. Tak mampu nak kata apa-apa. Yang aku rasa tika ini, rasa berdosa kerana membuat seorang lelaki berperasaan begitu terhadap aku. Dia tidak keruan memimikirkan aku? Ya Allah! Jauhilah dia dari bisikan nafsu..

***

“…. Lelaki itu ujiannya adalah wanita dan begitulah sebaliknya.” Ustaz Lutfi menamatkan kaunselingnya pada aku. Hampir satu jam aku dekat bilik dia ni. Dari tadi hanya dia yang bercakap dan aku hanya mendengar dengan baik.
Perasaan aku sekarang ni.. berkecamuk!

“Tapi saya bukan nak main-mainkan dia, ustaz. Saya tak berniat nak bercouple atau bercinta dengan cara yang salah. Saya memang niat nak jadikan dia bidadari hidup saya.” Mak aii Afiq Firdaus.. ayat punya dramatik boleh meleleh air mata.

Ustaz Lutfi terdiam lama.

“Saya tak pernah bercinta dan saya tak tipu dengan perasaan saya ni.” aku meyakinkan.

“Tapi cara awak salah. Awak tak sepatutnya kejar dia, bagi hadiah, berikan surat. Awak ingat saya tak terkejut dengan perkara ni? Hari Koperasi hari tu pulak awak buat drama pergi nyanyikan lagu untuk dia. Kalau saya jadi dia, saya berhenti sekolah tahu tak?” voltan suara Ustaz Lutfi dah naik.

Afiq Firdaus meraup wajahnya. Rambut yang mencecah kening diramas kasar.

“Itulah kesilapan saya ustaz. Selama ni saya tak tahu pulak kewujudan zina hati, mata, pandangan dan lain-lain tu. Saya jahil, ustaz.. Saya tahu couple tu haram kalau niat terpesong daripada syariat Islam. Tapi saya tak tahu yang menghampiri zina tu lagi bahaya daripada isu couple yang orang suka sangat bangkitkan tentang hukumnya.” Tak sedar air mata lelaki aku jatuh. Kerana seorang muslimah, sampai macam ni penangannya?

“Itulah, orang terlalu risaukan couple tu haram. Tak taulah mana dapat hukum. Tapi sebenarnya paling utama yang haram, menghampiri zina. Lagi besar skopnya. Hampiri zina ni termasuklah berbalas surat atau mesej, bergelak-ketawa tanpa sebab, saling puji-memuji antara bukan mahram, berbual perkara-perkara yang remeh antara lelaki dan perempuan, berdua-duaan di suatu tempat tanpa mahram dan sebagainya. Luas sangat kalau nak bercakap tentang pergaulan. Memang ada yang membahaskan bahawa jika mereka berbual perkara ilmiah pun, takkan tak boleh? Bukannya tak boleh, tapi hadkanlah.. Hati perempuan dan lelaki ni kuat magnetnya..” terang Ustaz Lutfi panjang lebar.

Bahu aku di tepuk-tepuk. Menenangkan.

“Berdosanya saya sebab tarik Ummu dalam dunia gila saya ni. Ya Allah.. Astarghfirullah al-azim.” Makin lama makin lebat pulak air mata ni. Bila dosa jadi biasa, benda yang berat pun kita pandang remeh kan?

“Taubat nasuha, Fiq.. Awak masih ada kesempatan untuk berubah. Allah dah tunjukkan jalan, jangan ikutkan nafsu sangat.”

“Tapi ustaz, macam mana kalau saya betul-betul sayangkan Ummu? Apa yang saya perlu buat untuk tahan hati saya? Saya tak nak lekakan dia.. Saya berdosa buat dia sakit menanggung malu, terasa maruah dia dipermainkan. Ya Allah.. apa yang saya perlu buat untuk jaga hati saya ni ustaz?” suara aku dah mula tersekat-sekat menahan sendu yang mencengkam hati.

“Penyakit hati ubatnya adalah zikrullah. Banyakkan bertadabbur Al-Quran, berselawat, berpuasa, lakukan perkara-perkara sunat. Bila awak teringat dekat dia, pegang dada dan laungkan Allahuakbar. Afiq, tak salah pun awak sayangkan dia, itu fitrah. Tapi berlebih-lebihan hingga lupa pada cinta yang abadi, itu yang salah. Istikharahlah dengan rasa yang bertapak dalam hati kamu tu. Kalau dia yang terbaik buat kamu, insyaAllah adalah jodoh kamu berdua.”

Aku betul-betul dah terjebak dengan perasaan sendiri. Hanya Allah tempat aku berpaut untuk menghilangkan rasa cinta pada dunia ini..

“Boleh ke saya berdoa supaya Allah jodohkan dia buat saya?”

“SubhanAllah! Doa adalah senjata bagi umat Islam. Doa itu adalah perantara yang terbaik. Awak tak perlu nak berutus surat untuk meyatakan rasa. Sedangkan doa mampu menghancurkan kezaliman, masakan sebab perempuan awak tak percaya dengan kuasa Allah? Berdoalah Fiq. Moga Allah dengar permintaan awak. InsyaAllah kalau niat awak memang baik.”

Terkedu. Aku tak sangka begitu hebatnya kuasa doa. Aku umpama seorang peneguk ilmu. Islam itu sangat indah untuk aku dalami. Allah sudah tunjuk keindahan Islam, iaitu Ummu sendiri..

“Layak ke saya ni ustaz nak berdampingan dengan Ummu? Dia muslimah yang solehah, saya cuma seorang lelaki yang jahil. Ustaz sendiri cakap, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” Masih ragu-ragu.

“Bukan saya yang cakap, tapi itu memang janji Allah. Allah Maha Menerima taubat hambaNya.. Saya minta maaf kalau kata-kata saya mengguriskan hati awak. Saya tak nak berkasar dengan awak, tapi saya cuma terkejut bila awak buat benda-benda pelik macam tu. Afiq Firdaus terkenal dengan masalah disiplin, mana pernah ada masalah perempuan mahupun masalah hati dan perasaan macam ni.” Eh.. ustaz ni sempat pulak melawak. Aku tengah sedih ni..

“Entahlah ustaz. Saya rasa bersalah sangat ni.”

“Tak apa, awak boleh minta maaf cara baik dengan dia. Tapi jangan main tegur je, nanti mesti dia tak suka. Sampai demam-demam budak tu dibuatnya. Apa-apa hal, saya akan inform dekat awak.” Teruk sangat ke apa yang aku buat? Dah tiga hari dia tak datang sekolah. Guru-guru kata dia demam dan tak sihat. Aduhai Ummu..

“Terima kasih, ustaz..”

“Haa.. sebelum saya terlupa. Datanglah majlis saya hujung bulan ni. Buat majlis kesyukuran biasa-biasa je. Walimah ni kena bersederhana, tak boleh lebih-lebih. Yang penting barakah dan kita meraikan pasangan. Jemputlah datang, ajak keluarga sekali.” Kad bertukar tangan. Berkerut dahi aku bila baca kad ni.

Lutfi & Aina..? Pergh! Terkejut habis ni.. sejak bila pulak ustaz dan Ustazah Aina ada apa-apa? Serius tak tahu.

“Bila masa ustaz dengan ustazah….” Tak mampu menghabiskan kata-kata.

“Jika kita mencintai seseorang kerana Allah, jangan lekakan dia dengan cinta palsu. Minta pada walinya dengan cara yang halal. Kalau kita malu, gunakan orang tengah sebagaimana Siti Khadijah meminang Rasulullah melalui Maisarah. Bila niat baik, Allah permudahkan Fiq. InsyaAllah..” bahu aku ditepuk perlahan. Senyuman ustaz, senyuman harapan dan pembakar semangat. Haa.. aku faham signal yang ustaz bagi tu.

Mencintai seseorang itu memang hak kita. Tetapi memiliki seseorang yang kita cintai tanpa ikatan yang sah dan halal itu bukan hak kita. Jangan pernah takut untuk melepaskan orang yang kita cintai kerana jika dia adalah jodoh kita, Allah akan mengembalikannya pada kita suatu hari nanti atau Dia menjanjikan yang lebih baik daripada itu. Dengan itu, aku redha melepaskan kau pergi dari hidupku kerana kau bukan hakku, yang halal buatku. Baiklah.. mulai saat ini Ummu Salamah, keranaNya aku melupakanmu. Iya, keranaNya..  Kerana tiada cinta yang suci melainkan cinta Ilahi. Cinta kau milik Ilahi, aku tak tega merampas hakNya tika kau tidak lagi bersedia..

***

Sudah tujuh tahun kenangan itu berlalu. Semasa majlis walimah Ustaz Lutfi dan Ustazah Aina, mereka menemukan aku  dan Afiq Firdaus. Aku berada di dalam bilik ustazah, dan Afiq di luar bilik. Kami dipisahkan oleh tirai pintu bilik ustazah. Afiq memohon maaf di atas segala perbuatannya yang menyakiti hatiku dan mengganggu pelajaranku. Kata-kata akhirnya masih terngiang-ngiang.

“Maaf atas segala kesilapan dan kealpaan mengganggu rasa tenang di pihak anti. Ummu, keranaNya aku melupakanmu. InsyaAllah. Mohon doa Allah berkat dan permudahkan perjalanan selepas ini..” ringkas, padat dan penuh makna.

Aku hanya mengangguk kerana air mata tiba-tiba mengalir dan Ustazah Aina yang menyatakan bahawa aku sudah memaafkannya. Keadaan aku tika itu, sangat hiba kerana syukur dengan perubahannya. Selepas kejadian itu, Afiq sendiri yang meminta untuk menukar kelas. Setiap pelajar yang pernah dibuli olehnya, dia sendiri yang memohon maaf. Begitu juga dengan perbuatannya terhadap Bibo, kucing kesayangan Puan Farah. Pembantu Makmal yang garang tu pun boleh berlembut hati memaafkan Afiq. Mungkin sebab kejujurannya meminta maaf. Mudah kan urusan jika kita jujur?

Tok!tok!tok! “Adik.. ada orang call.” Bunyi ketukan pintu bilik. Suara abang Uzair. Orang call?

“Siapa?” Ummu menjegulkan kepala di balik pintu.

“Entah. Lelaki.” Muka abang aku lain macam. Macam.. marah.

Uzair melekapkan telefon bimbit di telinganya. “Maaf. Ummu Salamah tak nak bercakap dengan kau. Dia banyak lagi urusan penting yang nak di buat daripada jawab call yang tak berfaedah. Sebelum tu, aku sarankan kau ambil kelas sivik. Belajar beradab sikit.” Senafas dan tegas. Talian dimatikan. Wah! Tak pernah nampak abang Uzair marah macam ni.

Terangkat tinggi kening aku. “Kenapa ni bang?”

“Apa yang bising-bising tu? Abang, Ummu.. ibu panggil turun makan ni.” laung Kak Aimi, kakak ipar aku dari ruang tamu.
Abang pandang aku dan aku buat muka tanda-tanya. Seram pulak tengok muka marah dia ni.

“Jom turun..” datar.

Aku mengekorinya. Di meja makan, anak-anak saudara aku sudah menanti. Aisyah Humaira dan Amirah Huda sedang bergaduh menuangkankan air untuk ibu. Rumah aku semakin ceria sejak abang berkahwin dan dikurniakan sepasang anak kembar. Alhamdulillah.. benarlah anak-anak ini pembawa rezeki.

Masing-masing mengambil tempat. Aku duduk di tengah-tengah antara Aisyah dan Amirah. Mereka berdua kalau bergaduh, boleh bergegar telinga yang mendengar. Kembar yang sentiasa tak sehaluan dan berlainan pendapat. Tapi bila mengenakan aku, sepakat pulak budak berdua ni.

“Mak Su, tadi ada orang call abi lepas tu marah-marah abi sebab nak bercakap dengan Mak Su.” Petah Amirah bercerita.
Aisyah mengiyakan. “Aisyah dengan Mira yang duduk sebelah abi pun boleh dengar.” Adunya.
Meja itu sunyi sepi seketika.

“Hmm.. maaf adik, abang tak marah adik pun. Tapi mamat tadi tu, melampau. Boleh ke dia marah abang sebab abang kata adik tak nak di ganggu. Dia cakap macam ni, hoi kau siapa haa?! Aku nak cakap dengan Ummu, bukan dengan kau. Setahu aku, Ummu bukannya banyak kerja sangat sampai tak boleh nak layan aku.” Abang mengajuk-ajuk percakapan lelaki itu. Aisyah dan Amirah tergelak melihat perbuatan Abang Uzair.

“Lepas tu bila abang cakap yang dia ni abang Ummu, terdiam pulak. Akak rasa dia sekerja dengan adik, pensyarah kolej yang adik cerita tu. Siapa namanya? Ustaz Fadhil..” Kak Aimi menyampuk bila meja sudah mula rancak.

“Ustaz? Tak macam ustaz pun. Tak ada batas. Dengar cara dia cakap dengan abang, awal-awal abang reject dia.”
Kak Aimi menepuk lembut bahu Abang Uzair. “Tak baik cakap macam tu.”

“Betullah apa yang abang cakap. Sekalipun dia geram sebab Ummu tak layan dia, tak payahlah nak marah orang. Kan tak pasal-pasal dia tak dapat pikat hati abang. Itu pun dia patut bersyukur sebab abang tak nyanyikan untuk dia lagu Inteam-bicara kata..”

Meja makan itu riuh dengan gelak tawa Aisyah dan Amirah.

“Abi ni buat lawak je nak menyanyi bagai. Tahulah suara sedap.. haha.” Aisyah terkekeh-kekeh ketawa.
Aku yang hanya mendiamkan diri dari tadi mula berdehem-dehem. Kalau aku tak kawal situasi ni, entah apa diorang ni melalut. Kalau kenakan orang lain tak apalah lagi. Tapi mangsanya nanti aku jugak kan?

“Dahlah tu.. tak baik cakap buruk-buruk tentang orang. Biarkanlah dia. Dia buat macam-macam cara pun adik takkan terima dia.” putusku. Mula sambung makan.

Abang Uzair terdiam.

“Mana ada abi cakap buruk-buruk. Abi cuma cerita pasal orang tadi tu jelah..” Eh! Si kecil Amirah ni menyampuk pulak. Macam faham-faham je. Nak membela abanglah tu..

“Iye, sorry.. Abi cuma cerita balik dekat Mak Su..” Haish. Pantang betul aku salah cakap sikit.

“Ibu rasa, elok kamu cepat-cepat berkahwin.” Usul Puan Mujahidah. Suara emas ibu bila dah keluar, maknanya benda tu penting dan bukannya main-main.
Aku tak berani nak membalas.

“Masalahnya adik ni dah tolak tujuh pinangan. Tapi memang bagus adik tolak. Semua pelik-pelik. Hmm.. siapalah yang adik tunggu sampai semua sekali kena reject.” Uzair melirik ke arah aku yang hanya menunduk.

Gulp! Serasa tidak tertelan makanan di kerongkong.

Ya, kenyataannya dah tujuh risikan dan lamaran aku tolak. Alasan yang pasti dan jelas, istikharah aku membuktikan bahawa mereka bukanlah bakal pendamping yang aku senangi. Bukannya aku terlalu memilih, tetapi apabila si dia yang melamar itu tidak beradab caranya, masakan aku nak terima? Ada tu sampai call aku pukul empat pagi sebab nak tahu jawapan. Itu tak kira lagi yang mesej menggunakan ayat-ayat ilmiah. Ada jugak yang mengajak aku ke masjid untuk beristikharah bersama. Memang gila! Aku bukannya bini dia nak solat sama-sama. Niat tidak menghalalkan cara! Hak dan batil mana boleh disatukan.

Disebabkan itu, ketujuh-tujuhnya aku tolak. Sedangkan sebelum kahwin mereka berani ‘membeli’ aku dengan kata-kata nista, tak mustahil lepas kahwin mereka akan buat macam tu di luar pengetahuan aku. Aku bukannya berburuk sangka, tapi jelas cara mereka menunjukkan sendiri belang yang ditutup.

“Entahlah ibu.. Adik redha sesiapa saja pilihan ibu atau abang. Kalau rasa dia baik untuk adik, adik terima dia sebagai jodoh dari Allah. Adik tak tunggu sesiapa.” Tegas.

Uzair terangguk-angguk. “Sebelum abang terlupa, semalam Ustaz Lutfi call abang tanya khabar adik.”

Dengar je nama Ustaz Lutfi, aku jadi tak sabar menanti bicara lanjut abang. Sebab kalau Ustaz Lutfi, mungkin ia berkaitan dengan Afiq…. Astarghfirullah! Apa yang aku fikirkan ni? kenapa dia yang muncul saat ni?

“Dia suruh adik cepat-cepat contact dia. Ada perkara penting nak bincang. Ustazah Aina tak ada number phone adik..”
Perkara penting? Ya Allah.. Kau jauhkanlah bisikan hatiku yang berharap pada sesuatu yang tak pasti.

“Abang ada bagi contact number adik dekat ustaz tak?” soalku tak sabar.

“Dah bagi dah.. Adik, kalau jodoh tu tak kemana. Kata ustaz, orang lama merisik..” Tersenyum tiba-tiba bila dengar abang cakap macam tu. Sebab hanya abang, insan yang tahu rahsia hatiku..

SubhanAllah! SubhanAllah! SubhanAllah! Aku bertasbih memujinya bila jodoh itu datang pada waktu yang sangat tepat. Bila aku sendiri terlantar dengan kesesakan cinta palsu manusia yang rakus memuja, Allah hadirkan dia sebagai pendamping hidupku, bersama-sama membina ketaatan menuju redhaNya. Terima kasih ya Allah..

***

Alhamdulillah. Usai sudah walimah di pihak aku dan Ummu Salamah. Entah kenapa dari tadi tak lokek senyumannya. Buatkan hati aku tak keruan. Dulu senyumannya langsung tak pernah dihadiahkan untuk aku. Yang ada hanya ketegasan. SubhanAllah.. inilah namanya cinta halal! Rasa cinta yang tak akan melekakan aku pada cinta dunia kerana Kau penjaga rasa cintanya.

“Terima kasih ustaz untuk segala bantuan.” Afiq dan Ustaz Lutfi saling berpelukan.

“Saya cuma memudahkan urusan kamu berdua je. Yang penting semua ni bantuan dari Allah yang menggerakkan hati kami untuk mudahkan kamu. Lagipun macamlah kami ni tak faham perasaan kamu dan Ummu. Hanya batas yang menjadi penghalang..” usik Ustaz Lutfi. Dia mengerling Ustazah Aina. Pasangan suami isteri ni memang suka sangat mengusik aku dan Ummu. Rasanya dah membahang pipi aku ni. Yelah, mengenangkan perangai aku yang tak semenggah dulu.

Sambungnya.. “Jadi, lepas ni kamu nak berutus surat, nak menyanyi puas-puas pun boleh Afiq. Lagi satu, rajin-rajinkan diri tu untuk sentiasa beri penghargaan kepada isteri. Ucapan terima kasih pun sangat bermakna. Masa remaja berani bagi hadiah, takkan lepas kahwin tak boleh kan?” sudah-sudahlah tu ustaz. Aku dah malu sangat ni. Sabar jelah..

Aku menjeling Ummu Salamah yang berada di sisi Ustazah Aina sembari dia melayan anak-anak ustaz dan ustazah. Aku tahu dia dengar apa yang ustaz cakap. Yelah, kalau dah senyum lain macam sambil jeling-jeling aku, apa ke halnya?

“InsyaAllah ustaz..”

“Haa.. lagu tu pun boleh jugak kamu nyanyikan untuk dia. InsyaAllah.. ada jalannya..” Eh! Tiba-tiba pulak ustaz ni nyanyi lagu Maher Zain-InsyaAllah. Hahaha. Pelik-peliklah ustaz aku ni..

“Bila masa saya cakap nak nyanyi lagu tu ustaz?” aku menahan gelak tengok ustaz yang masih menyanyi-nyanyi kecil.Alhamdulillah orang ramai dah balik. Kalau tak, memalukan diri sendiri je.

“Gurau sikit pun tak boleh. Haishh..” bergurau pulak? Hahaha..

“Baiklah, saya pun nak balik ni. Takkan nak duduk sini lama-lama kan? Kamu dah ada zaujah, mana nak lepak dengan saya lagi lepas ni.” Ustaz Lutfi mencebikkan bibir. Mengusik lagi..?

“Ya Allah.. takkanlah sampai macam tu. Kitakan buddyz, takkan terpisah.. hahaha.” Dan kami sama-sama ketawa. Nikmat ukhuwah makin terasa. Walaupun mereka murabbi aku, akrabnya bagaikan adik-beradik.

“InsyaAllah.. lepas ni jangan lupa contact kami. Skype, line, blogging, email, fb, whatsapp semua ada..” kami bersalaman dan berpelukan lagi.

“MasyaAllah.. boleh je ustaz. Tapi jangan marah pulak kalau setiap masa dapat khabar dari saya.”

“Melampaulah tu kalau 24 jam kau nak contact aku semedang,” kan dah keluar kata ganti nama dia tu. Maknanya dia betul-betul seriuslah tu.

“Hahaha. Na’uzubillah ustaz. Nanti ustazah marah pulak.”

“Saya tak marah, tapi zaujah kamu ni haa.. Dahlah abang, jom balik. Nanti lambat pulak kita sampai rumah.” Ustazah Aina menghentikan kegilaan kami berdua. Kalau tak, sampai besok pun tak settle lagi dengan ustaz ni.

“Terima kasih sebab datang, ustazah..” suara berlian Ummu Salamah mula kedengaran. Dia dan Ustazah Aina berdakapan dan saling berlaga pipi.

Kami menghantar kepulangan mereka dengan pandangan dan lambaian. Alhamdulillah, akhirnya selesai segala urusan.

***

“Baba!”

Laungan Fatimah Az-Zahra membubarkan segala kisah lalu. Afiq menoleh ke arah Ummu dan cahaya mata mereka yang menginjak usia tiga tahun.

“Allahuakbar!” lafaz takbir yang terbit dari ulas bibirnya membuatkan Fatimah Az-Zahra terkekeh-kekeh ketawa.

“Mawmaw dah pakai baju. Comel tak Mawmaw?” soalnya polos dengan tawa lembut.

“Comel..” jawab Ummu sembari mengacah-acah kucing yang sudah siap memakai gaun milik Fatimah Az-Zahra semasa kecil. Aduhai.. keletah mereka berdua ni buatkan aku sangat bahagia.

“Comel sangat. Tapi Fatimah Az-Zahra laagi comel.” Ujar Afiq apabila Fatimah Az-Zahra seolah-olah menanti jawapannya.

Ummu Salamah menghampiri.
“Abang pun fikirkan benda yang sama ye?” soal Ummu Salamah. Dia mengambil tempat di sisi Afiq. Meninggalkan 

Fatimah Az-Zahra yang masih menguruskan kucingnya di hadapan gazebo itu.
Afiq tertawa. Mengiyakan. “Mana boleh lupakan semua tu. Kenangan yang sangat manis walaupun masa tu jahil..” tergelak bebas.

“Zahra pun macam abang jugak, nakal buli kucing.” Ummu tersenyum mengusik.

Afiq hanya ketawa kesukaan. “Tapi idea pakaikan gaun ni pulak mesti inspirasi acuan mama dia yang molek menutup aurat. Haha.. Comelnya Fatimah Az-Zahra..” ujarnya. Mata masih tak lepas memerhati Fatimah Az-Zahra yang berkejaran dengan kucing yang bergaun tu.

Bila Ummu mengingati perbuatan Afiq dulu, boleh sakit jantung. Kucing yang punyalah comel tu dia boleh pulak buat style Mohawk. Kesian sangat sangat tengok Bibo masa tu. Ikutkan hati, aku cincang je mamat ni dulu. Tapi tu dulu…

“Nakalnya.. Abang tahu tak, Ummu rasa nak botakkan je kepala abang time tu. Bibo dulu dahlah comel.. Buruk benar rupa dia dengan style Mohawk tu.”

“Tapi abang dah minta maaf dekat Puan Farah, dia tak marah pun..”

“Iyelah.. sebab masa tu abang jujur dengan dia, minta maaf dengan kekesalan.” pujiku.

“Ye ke? Dari mana Ummu tahu abang jujur dan kesal dengan perbuatan abang?” serius dia bertanya.
Tapi keseriusannya tak mampu menghilangkan senyuman manis dan riak tenang Ummu Salamah.

“Ummu tahulah yang abang dah berubah masa tu..” jawabku yakin.

“Betul ke abang dah berubah masa tu? Mana tahu? Hmm..” dia buat-buat gaya berfikir pulak.

“Betul.. Sebab….” Aksi suspen Ummu melengahkan ayat seterusnya buatkan Afiq tidak sabar menunggu.

“Apa dia sayang? Sebab?” terjongket kening Afiq bila Ummu tersenyum penuh misteri. Dia membetulkan sila menghadap isterinya.

“Sebab…. keranaNya kau melupakanku, wahai suami..”

“Aduhai sayangku.. mana boleh lupa bidadari syurga yang menunduk apabila bertembung mata, berbicara tegas menegakkan haknya, menolak cinta dusta dengan tegar, petah mendebatkan hukum. Ya Allah.. abang tak pernah melupakan bidadari abang.”akui Afiq.

Tak semena-mena air mata jatuh membasahi pipi mulus Ummu Salamah. Pantas Afiq menyapunya. Kepala Ummu di usap kasih.

“Lafaz kata tak mampu menindakkan bicara hati, sayang. Betullah, bibir kita ni acap kali berbohong. Kita yang tahu kebohongan itu baik untuk kita atau tak. Sejujurnya abang menipu diri sendiri. Abang memang melupakan Ummu kerana Allah, tapi bukan nafas cinta yang Ummu suburkan dalam hati abang. Ummu Salamah dan cinta Ummu Salamah tu berbeza. Dua perkara yang sangat berbeza, sayang.. Jika abang memilih untuk tidak melupakan Ummu masa tu, yang abang dapat hanya cinta dunia iaitu bayangan Ummu. Tapi abang pilih untuk melupakan Ummu dan serahkan cinta yang bertapak dalam hati ni untuk di nilai keihlasannya oleh Allah. Kalau abang sayang Ummu sebab nafsu, abang takkan pernah nak lepaskan Ummu dulu.”

Penjelasan Afiq yang panjang lebar telah lama menenggelamkan Ummu dalam dakapannya.

“Maafkan Ummu sebab pernah membenci abang dulu..” teresak-esak dalam dakapan Afiq. Ni memang confess time ke?

“Tak mengapa sayang.. Ummu layak pertahankan maruah Ummu. Alhamdulillah, isteri solehah abang ni seindah mawar berduri. Maafkan abang sebab cuba untuk mencantas durinya..”

“Janganlah cakap macam tu lagi. Ummu dah lama maafkan. Perkara tu bukannya berikan kenangan pahit buat Ummu, tapi kenangan manis tentang penghijrahan seorang pemuda yang sangat Ummu cintai..”

“Ummu tahu tak kisah Ummu Salamah? Muslimah unggul yang membuka ruang perubahan pada calon suaminya, Abu Thalhah. Sejarah mencatat, Abu Thalhah yg bukan Islam akhirnya menjadi mujahid dakwah. Tapi abang bukan Abu Thalhah.. Sejarah mencatatkan bahawa Afiq Firdaus terhentak dengan kejahilan sendiri. Ummu Salamah abang ni sangat istimewa tau dalam hidup abang. Dia mencontohi ketokohan muslimah unggul yang membuka ruang perubahan dalam diri abang..”

Ummu mengangkat wajah. Merenung ke dalam anak mata Afiq.

“Ummu Salamah, bidadari hidupku..Dahulu, keranaNya aku melupakanmu. Tapi kini, keranaNya aku menyintaimu..”

Kami menangis dalam bahagia. Lafaz syukur bergema dalam sukma. Sesungguhnya rasa cinta ini milikNya. Pada Dia diadu semua rasa, yang perantaranya adalah doa dan bukannya surat luahan penuh dusta.

***

Nota hati : Cerita yg tiada kena mengena dengan sesiapa. Hanya sekadar ingatan buat diri. Maaf dan mohon teguran atas segala kelalaian. Tiada yang hebat melainkan kekuasaanNya. Bilamana dia menetapkan seseorang itu sebagai pendamping diri kita, ia akan datang tanpa mengetahui bila, dimana, bagaimana, dengan siapa, mengapa. Dia hadir pada waktu yang sangat tepat. Percayalah pada Allah! Wallahualam.. :’)