Carian

Apa yang ada?

Aug 12, 2015

Hikmah Memberi


Fail kerja kajian ku peluk erat. Bimbang terjatuh dan bertaburan kertas-kertas dijalanan. Berjalan perlahan keluar dari masjid.

"Dik.. maaf ganggu.." seorang lelaki dengan pakaian yg lusuh merapati aku. Dengan senyuman pucatnya. Dia menggenggam erat tangan kanak2 yg aku kira seawal 5 atau 6 tahun.

"Ye.. kenapa encik?" Beranikan diri. Walaupun aku jarang membalas sapaan mahupun teguran orang yg tidak dikenali.

"Sebenarnya.. err.. kami dari semalam tak makan. Malu abang nak cakap.. Boleh tak adik sumbangkan pada abang rm10. Cukuplah untuk anak abang makan.. Boleh tak dik?" takut-takut dia meluahkan kata.
Aku lihat, ditubir matanya bertakung manik jernih. Aku renung anaknya pula. Polos benar. Berderau darahku.

"Allahuakbar.." pantas aku membuka zip beg galas. Mencari-cari dimana letaknya dompet aku. Padahal aku sendiri sedang berkira-kira menggunakan tiap wang yg ada. Fikirkan yuran kelas yg belum dibayar, buku rujukan yg masih belum dibeli.

Duit belanja harian yg kian menyusut membuatkan aku lebih teliti merancang penggunaan harian. Aku seorang pelajar, yg membuat kerja-kerja tambahan untuk mencari wang poket sendiri. Kadang-kadang mengajar di pusat tuesyen dan menyimpan hasil wang sumbangan seikhlasnya daripada kanak2 yg mengaji di rumah. Walaupun hakikatnya sedikit, tetapi aku rasa cukup dengan yg sedikit itu.

"Abang sebenarnya malu nak mintak duit macam ni. Tapi abang terdesak sangat ni dik.. Isteri abang dekat hospital, baru lepas bersalin. Dah sebulan, tapi kena tahan sebab macam-macam komplikasi. Anak pulak kena sakit kuning, jantung berlubang. Jadi, abang terpaksa buat macam ni. Semua duit dah habis untuk perubatan, kegunaan harian.. Maaf sangat dik.." ujarnya ketika aku masih terkial-kial mencari jika ada sedikit wang di dalam dompet.

"Eh.. tak apa bang.. Hari ni abang sangat perlukan bantuan, mana tahu esok lusa saya yg alami kesusahan, Allah saja yg mampu tolong.."

"Entahlah dik.. abang kerja mekanik dekat bengkel, tapi brader tu dah pecat abang tiga hari lepas.. Sebab sebulan ni banyak kali mintak cuti. Kita bukannya apa, dalam keadaan anak dengan isteri dekat hospital, terikat nak tinggalkan diorang. Lagipun anak abang yg ni, masih tadika. Hari ni puas abang cari kalau-kalau ada kerja kosong dekat mana-mana, tapi bukan rezeki lagi agaknya." dia meluah rasa. Aku hanya tekun mendengar.

"Sabarlah, insyaAllah ada rezeki yg tak terjangka Allah akan beri. Mungkin bukan sekarang, tapi Allah tunjuk bila anak-anak besar nanti." Aku hulurkan not RM50. Itu saja yg aku ada. Dalam dompet hanya tinggal wang RM1 yg aku tak tahu jumlahnya. Tetapi boleh dikira kurang dari 10 jari.

"Allah.. dik.. banyak sangat ni. Malu rasanya.. Abang cuma perlukan RM10 je, utk isi perut anak. Abang tak makan pun tak apa. InsyaAllah nanti abang akan cari kerja lain.." dia ingin hulurkan kembali wang itu. Tetapi aku menolak dengan baik.

"Tak mengapa, abang lebih perlukannya.. Cuma satu saya minta, esok saya ada exam dengan pembentangan kerja kajian. Saya hanya minta untuk didoakan.." Matanya berair. Ada takungan air yg memberat disitu. Dia meraup wajah.

"Moga Allah permudahkan kamu, tenang menjawab periksa. Bantuan kamu ni moga Allah saja yg membalasnya.." Dia keluarkan pen dan resit kumal dari saku bajunya. Dia menulis sesuatu dibelakang resit tu.

"Ni nombor telefon dengan alamat rumah abang. Kalau kamu tak percaya dengan abang, kamu boleh selidik. Dan kalau ada apa2 bantuan yg diperlukan, contact je. Saya tak mampu nak bantu wang ringgit, tetapi selagi terdaya, akan diusahakan."

"InsyaAllah.." aku membalas ringkas. Menggosok perlahan kepala anaknya.

"Salam kakak, ucap terima kasih dekat kakak.." "Saya dengan ayah mintak maaf.. terima kasih kakak.." ujar kanak-kanak lelaki itu. Sekali lagi aku dihambat perasaan. Anak ini meminta maaf?

Ya.. dia sudah cukup tahu kesusahan keluarganya. Setelah berpamitan, dia berlalu pergi dengan menggendong anaknya. Empati melihat keadaan mereka.

Aku tahu, ramai lagi yg lebih susah dan getir hidupnya diluar sana. Cuma Allah memberi hikmah dengan pengalaman yg sedikit hari ini. Merasai betapa tekadnya seorang ayah, terpaksa meminta demi memikirkan perut anaknya yg masih tidak diisi.

Aku tahu, ramai yg beranggapan golongan sebegini kadangkala hanya mengambil kesempatan dan mungkin berniat serong ataupun menipu. Tetapi satu sahaja yg aku pegang -- berilah sebanyaknya tanpa mengira utk menerima sebanyaknya. Biarkan jika mereka menipu, tetapi bantuan yg diberi itu harus seikhlasnya. Kita tidak tahu niat mereka, tetapi kita tahu niat hati sendiri. Amal itu, pada Allah nilaiannya. Bukan pada nilaian manusia.

Mungkin dia hanya asbab teguran dari Allah. Duit mahupun barang dalam simpanan kita, belum tentu ia milik kita. Mungkin Allah mahu kita menjaganya, sebelum bertemu hak pada pemiliknya.

***

 Syukur. Usai mengeluarkan duit dari akaun Bank Islam. Asalnya dalam simpanan ada RM300, tetapi setelah dikeluarkan RM250, hanya berbaki RM50 untuk digunakan saat diperlukan nanti. Duit ini akan digunakannya untuk membayar yuran kelas.

Lagu Seru Pembelaan nyanyian Soutul Amal melatari ruang biliknya yg sunyi tanpa penghuni lain. Pantas dijengah nama pemanggil di skrin telefon bimbit.

Kak Nurul? Hairan kerana kakak angkatnya itu sudah lama tidak menghubungi. Selalunya cukup sekadar sms.

Kami menjadi keluarga angkat semasa aku di tahun 2, menyertai program mahasiswa bersama masyarakat. Selama dua minggu merasai hidup bersama mereka.

"Akak.. kenapa ni?" Gusar apabila bunyi esakan yg singgah di pendengarannya. Makin lama makin kuat.
"Ummu.. boleh tolong akak tak? Ummu kena tolong akak.. akak tak ada orang lain selain Ummu. Kamu je yg boleh tolong akak.." rayuannya menggusarkan hati, menjerut rasa. Mengapa sampai begini?

"Cuba cerita baik-baik, jangan sedih-sedih macam ni.. Akak tenangkan diri dulu, cerita satu persatu dekat Ummu. Baru Ummu boleh tolong." Cuba memujuk.

"Sebenarnya.. akak kena bayar yuran kelas, RM300. Tapi akak tak ada duit lagi dah. Semua dah digunakan untuk bayar rumah sewa, belanja makan. Akak tak nak minta mak dan bapak. Mereka dah cukup susah dik.." Ujarnya sayu. Aku terngadah. Jiwa ini seolah terenggut mendengar kata-katanya.

"SubhanAllah.. akak.. Ummu ada duit sikit. Akak nak pinjam?" Perasaan ini sukar untuk digambarkan.
Aku memejam rapat mata yg mula ditakungi air jernih. Tidak mahu ia mengalir andai ini air mata sisa tidak kepercayaan kepada aturan Allah. Aku sedang merancang, tetapi Allah melorongkan perancangan yg maha hebat untuk dilalui oleh hamba yg hina sepertiku.

Hati seolah tidak sabar, tetapi apabila yg sedang memerlukan ini adalah insan akrab sendiri, mustahil aku mahu meladeni tuntutan diri.

"Allahuakbar.. boleh ke dik? Akak takkan minta kalau tak terdesak macam ni. Akak cuma perlukan lagi RM250. Asalnya RM300, tapi tadi akak dah jual kasut sport akak yg Ummu pernah hadiahkan dulu. Akak jual RM25. Maafkan akak Ummu.." luahnya syahdu. Aku tahu, dia sudah banjir dengan air mata.

Akhirnya air jernih yg hanya menyinggah dipelupuk mata, perlahan mengalir. Aku menangis kerana tidak menyangka senekad itu tindakannya. Takku hiraukan hadiah pemberian aku dulu telah dijual olehnya.

"Tak apa kak.. tak kisah pun akak jual kasut tu.. Tapi kalau Ummu bagi RM250, mana akak nak cari lagi RM25?"

"Kawan akak tengah on the way ni. Akak nak jual beg akak dekat dia. Harap dia nak beli beg ni dengan harga RM25." Ucapnya dengan keyakinan dan harapan bahawa kawan yg disebut itu akan membeli beg miliknya.

Berderau darahku. Cuba untuk tidak menerbitkan esakan yg berombak di dada.

"Akak..." sudah tidak terkata.

"Akak minta maaf ye.. Tapi tolong jangan bagitahu mak dengan bapak. Akak taknak bapak susah hati. Lagipun kamu tahu kan, mak bukannya sihat sangat."

Teringat bapak yg sakit jantung, dan mak yg menghidap penyakit paru-paru berair. Seringkali sesak nafas dan mengundang kerisauan kami semua. Bapak pula hanya bekerja mengambil upah mencari kelapa untuk dijual di kedai. Kadangkala tidak menentu pendapatannya tiap bulan. Paling banyak, RM400 sebulan. Itupun hasil pelbagai jenis kerja kampung yg dilakukan.

Dengan keadaannya yg makin uzur, dia gagahkan diri untuk menghantar Abang Zul dan Kak Nurul ke universiti terkemuka, dan 4 adik-adik yg lain masih bersekolah. Seorang daripada mereka adalah hafizah, pemelihara Al-Quran walaupun masih berumur 9 tahun, bersekolah swasta yg bayaran bulanannya lebih daripada RM100. Aku kagum dengan kegigihan keluarga itu.

Walaupun hidup susah, bapak tidak pernah membiarkan anak-anaknya tidak berpendidikan. Aku sebagai anak angkatnya, turut merasai kasih sayang keluarga itu. Tiap bulan bapak pasti memasukkan RM20 ke dalam akaun milikku. Walau hanya RM20, hal itu amat memberi kesan yg besar buat aku.

Dengan wang itu juga, aku titipkan semula dengan bentuk barangan mahupun kelengkapan sekolah buat adik-adik. Seringkali aku menolak, tetapi bapak selalu mengatakan, aku anaknya juga.. Dia ingin benar aku berjaya mencapai cita-cita walau dengan hanya memberi RM20 setiap bulan. Allahuakbar..

"InsyaAllah Ummu tak bagitahu mak dan bapak. Akak jangan tension sangat tau. Exam nak dekat, Ummu tak nak akak susah hati. Dua date bayar yuran ni bila?"

"Pukul 5.30 ni Ummu.. Ada lagi satu jam je. Akak susahkan Ummu kan? Sepatutnya akak tolong adik akak, bukan susahkan macam ni. Tapi insyaAllah kalau duit biasiswa akak dah keluar, akak bayar balik." Mencongak di dalam kepala. Aku masih ada masa satu minggu untuk membayar yuran kelas. Tetapi Kak Nurul, hanya berbaki satu jam.

SubhanAllah, hanya pada Ilahi aku meletakkan kepercayaan dan keyakinan.

"Akak tak payah fikir banyak sangat macam ni. Tak susahkan Ummu pun. Akak lebih perlukan duit tu. Keutamaan Ummu sekarang ni, mengutamakan akak. Asal pergantungan pada Allah, maka kembalikan tiap urusan dalam aturan Allah. Kalau boleh kan kak, tiap apa yg kita rancangkan, sandarkan perancangan tu pada Allah. Biar ditiup mehnah, kita tahu nak cari di mana kekuatan itu. Baru boleh pupuk tawakal dan redha.." Sungguh... aku sedang memujuk diri tika ini.

"Nanti Ummu masukkan duit dalam akaun akak. Tapi, duit belanja akak macam mana?" Gusar memikirkan hal itu.

"Tak apa, dekat rumah sewa ni ada je bahan yg boleh dimasak. Rezeki Allah tu luas kan dik. Akak nak ucapkan terima kasih sangat dekat Ummu, banyak tolong akak." Serak suaranya. Mungkin sudah sehabis menangis.

"Hazha min fadhli Robbi.. Pertolongan tu dari Allah, akak yg kena kuatkan hati dan pergantungan. Bila keyakinan tu kita pasakkan pada Allah, ujian berat mana pun akak akan rasa mudah. Qowiy lillahi ta'ala! Kalau ada masalah, boleh cerita dekat Ummu, jangan simpan sorang.." Nah. Sekali lagi kata-kata itu ditujukan khas buat diri.

"Cuma satu Ummu minta dari akak. Esok Ummu ada pembentangan kerja kajian dan exam. Sejujurnya, banyak sangat tak dihadam lagi. Sahabat Ummu sakit, dah seminggu berkejar hospital-program-kuliah-rumah. Akak doakan dia dan Ummu ye.."

"Oh.. akak dengar tentang program kampus Ummu tu. Hebat adik akak ni. InsyaAllah, Allah takkan beri apa yg kita impikan mengikut acuan kita, tetapi dia beri apa yg kita perlukan mengikut acuan Dia. Itu yg Ummu selalu pesan kan.." SubhanAllah. Lafaz syukur bergema dalam sukma.

Berkali-kali aku dijentik hikmah hari ini. Duit yg tadinya aku pegang, sekali lagi hanya menjadi pemegang hak insan lain yg lebih perlukannya. Indah rasa ini, ditegur dengan tarbiyyah langsung dariNya.

Memaknai lafaz syukur ini bukannya mudah, kerana ia perlukan jasad dan roh yg sanggup berkorban, mengerti dan turut memahami takrifan redha dan tawakal dengan usaha pada Ilahi..

***

Debar menanti di luar kawasan zon merah hospital besar ini. Jam tangan dikerling. Menginjak pukul 2 pagi. Sudah tiga jam, masih tidak menerima jawapan pasti pembedahan Nailah, teman akrab merangkap sahabat kuliahnya.

'Ya Allah.. permudahkanlah urusannya..' monolog hati Ummu.

Duduk di atas lantai hospital sembari memerhati ragam insan-insan disekelilingnya. Ada yg menunjukkan riak tenang, ada yg tertidur pulas di atas bangku. Mungkin keletihan menunggu seseorang. Tidak kurang juga yg asyik menangis tidak henti.

Mehnah. Satu bentuk pengajaran tanda kasih dari Ilahi. Cumanya.. lain org, lain bentuk penerimaannya. Memandang dari impak positif mahupun negatif. Memaknainya dengan rasa syukur, bukan semudah lafaz bicara.

Teringat keadaan di rumah sewanya tadi.

 "Ummu, malam ni saya tak dapat pergi hospital. Esok petang paper saya pukul 2.30." ujar Laila.

"Ha'ah, saya pun ada kelas tutor pukul 10 pagi esok." Izzah menyampuk. Aku terkebil-kebil.

Tapi....

"Saya pun ada paper, pukul 9 pagi esok." perlahan bicara yg keluar dari ulas bibir. Memang semua maklum jadual harian masing-masing.

"Malam ni kan pembedahan Nailah. Kita semua patut ada untuk support dia." Tambahnya lagi. Mengharap mereka mengerti. Laila tersenyum kelat.

"Maaf Ummu.. Saya harap sangat awak faham, banyak lagi saya tak cover ni."

"Saya pun.. malam ni awak soranglah yg pergi hospital ye? InsyaAllah, kami doakan yg terbaik untuk Nailah.." Aku cuba untuk tersenyum, disaat hati pedih terhiris.

"Ummu faham, doa sahabat secara sirr tu lebih baik, daripada dizahirkan dengan perbuatan.."

Bubar segala lamunan tadi. Dipelusuk hati yg dalam, mengharapkan mereka juga berada disini, menjadi penguat buat seorang teman yg tidak punya sesiapa.

Pantas aku menyelak lembaran mini tafsir al-Quran yg senantiasa di bawa ke mana saja. Lebih tenang membaca helaian dan lembaran mushaf, berbanding menggunakan aplikasi android yg semakin canggih.

“Dan Kami pasti akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata “Innalillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Rabbnya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Baqarah : 155-157)

Menggeletar jari-jemari saat ia singgah menyentuh tepat tafsiran ayat itu. Nafas berat dihela. Senyuman tipis diukir, menggamit semangat yg tadinya sirna.

'Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.. La takhof, innallaha ma'ana..' bisik hatinya. Memang lembaran ini yg pantas dicari, diusik saat mudah mahupun getir.

Aku percaya pada nusrah Ilahi! Pasti Dia beri pertolongan, saat betul-betul memerlukannya..

***

Alhamdulillah. Tidak pernah setenang ini menjawab peperiksaan besar. Selalunya perasaan ini pasti berkecamuk, risau memikirkan persediaan yg tak pernah cukup.

"Alhamdulillah, syukran lillah.. laqad najahtu.." terluah bicara itu..

"Berjaya apa ukhti? Natijah belum keluar.." tegur seorang teman kuliah yg lalu dihadapannya. Aku tersenyum cuma.

"Tak ada apa-apa.." biar rasa ini menjadi rahsia aku dan Ilahi. Berjaya itu bukan pada natijah, tetapi cukup dirasakan berjaya semasa menjalani fatrah imtihan dari Ilahi.

Selama ini mungkin berbeza tanggapan juga tebakan soal takrifan 'kejayaan'. Bagi seorang pelajar, mungkin berjaya itu pada gred mahupun pointer, tetapi tahukah rasa ini, sukar mahu diterjemah saat berjaya walau tanpa pointer yg tinggi. Malah natijah pun belum keluar, Ummu..

Teringat peristiwa-peristiwa semalam. Memikirkan secebis doa yg dipinta buat bekalan hari ini. Ya Allah, beginikah indahnya hikmah? Sudah, bubarkan rasa yg dipinjam seketika ini. Banyak lagi tuntutan yg menanti!

Langkah diatur menghadiri kuliah seterusnya, kerja kajiannya akan dibentangkan sebentar lagi. Bakal dievaluasi oleh empat orang pensyarah. Sungguh, debar ini bersama kekuatan memikirkan Nailah yg sepatutnya bersama-sama melakukan pembentangan. Kerja projek ini hasil kerja berdua, bukan hanya dia seorang.

Tetapi perancangan Ilahi, siapa mampu menduga? Dia yg masih punyai kudrat, harus merealisasikan segala semangat Nailah yg tumpah di dalam kerja kajian ini semasa proses menyiapkannya.

"As we all know, today I will present this project without Nailah. Because yesterday she underwent kidney surgery. She was transferred to the yellow zone early this morning. Let us pray for her health.." Dengan lafaz bismillah, aku melakukan pembentangan. Bukan keseorangan, kan ada Ilahi..

"Superb! You have done your best, Ummu. Send my regards to Nailah.." kata-kata pertama yg keluar dari ulas bibir pensyarahnya. Suasana gamam seketika. Tiada suara yg kedengaran.

Teman kuliahnya masing-masing terpaku. Pensyarah yg selama ini sangat tegas dan sukar memuji, sedang memberi galakan yg tak terjangka. Aku hanya mampu tersenyum tawar. Debar didada masih menggila.

"Thanks for listening.." berlalu keluar setelah kelas tamat.

***

Sakit yg menjerut segala rasa cuba dilupakan. Kepala makin memberat kerana tidak tidur dari kelmarin. Tetapi mengingatkan panggilan baba yg tidak berjawab semasa kuliah tadi, pantas dia mencari telefon bimbit di dalam beg.

"Baba.. sihat?" Panggilan yg bersambut dihujung talian membisikkan kekuatan buat hati yg galau.

"Alhamdulillah.. bertambah sihat.. ummi kamu pun. Kamu macam mana kuliah? Dah makan?" Soal baba. Aku hanya tersenyum disini. Walhal baba bukannya nampak senyuman aku.

"InsyaAllah.." jawab datar.

"InsyaAllah? Dah makan ke belum? Kamu ni.. bila baba tanya bab makan, tak pernah nak jawab betul-betul. Ni mesti tak makan. Dah berapa hari tak sentuh nasi?" Mula dah bebelannya. Aku hanya tergelak mendengarnya.

"Baba ni.. insyaAllah tu maknanya kalau Allah izinkan, kakak mesti makan. Tapi bila Allah tak izinkan lagi, kakak makan kismis je tadi." Pandai menjawab.

"Ada je benda yg dibahasnya. Inilah bahana suka sangat masuk debat, pidato." Kata-kata baba berbaur usikan. Tetapi terselit juga nada kerisauannya.

"Kakak.. sibuk berprogram, banyak assignment, terkejar kuliah sana-sini, pengajian agama, kena mengajar kelas tambahan, tutor, bukan sebab untuk menzalimi diri tau kak. Hak kepada nafs pun kena jaga, makan, rehat dan tidur secukupnya. Kakak tu tak sihat sangat, nanti migrain, gastrik, darah tinggi naik lagi macam mana?" sayu suara baba. Aku beristighfar panjang didalam hati. Baba pasti merasai keadaan aku tika ini.

Seorang bapa yg sangat akrab sebagai teman, dia faham benar sikapku. Tetapi seboleh mungkin aku tidak mahu dia sedar aku sedang alami segala tebakannya tadi. Biar kesusahan ini mengajar makna hidup bertuhan, kepergantungan hanya pada Dia. Tetapi jiwaku membisik, baba.. anakmu ini sudah kehabisan wang, tetapi insyaAllah masih ada kudrat untuk mencari. Tidak mahu hanya meminta tanpa usaha. Zalimkah aku pada diri?

"SubhanAllah.. baba risaukan kakak ye? Maafkan akak, baba.. Kakak selalu makan, jaga waktu tidur dan rehat. Tak sibuk mana pun. Nak tengok Islam yg syumul tertegak sebagai addin yg tinggi, kenalah usaha lebih kan? Baba kan selalu cakap, orang yg banyak waktu lapangnya, dia sedang lupa tanggungjawab dan masa yg ada tak cukup untuk selesaikan semua tuntutan. Baba doakan yg terbaik untuk kakak ye?" Sebak. Biarlah hanya diri dan Ilahi yg memahami.

"Baba selalu doakan anak-anak baba.. Kakak, kamu ada duit belanja tak? Kamu ni bukan macam abang, tak ada duit belanja tapi senyap je. Lainlah abang, dia tahu mengadu. Kamu dalam tanggungjawab baba, jangan susahkan diri tu, kakak.." Kan.. hal ini juga yg baba risaukan.

Aku hanya tergelak. Entah hambar atau tidak.

"Tadi baba baru masukkan RM500 dalam akaun kamu. Guna duit tu sebaiknya. Kalau tak cukup, mintak. Jangan senyap je.." ujar baba lagi. Terkejut.

"Banyaknya.. kenapa banyak sangat baba? Kakak ada duit, insyaAllah.. RM500 tu baba boleh simpan untuk pergi Haji kan?" Cuba menahan lontaran suara yg hiba.

Baba mengingatkan aku kepada lelaki kelmarin yg aku jumpa di perkarangan masjid. Walaupun daripada bapa sendiri, aku tidak betah membiarkan dia memikirkan kegentingan anaknya. RM500 itu nampak sedikit, tetapi cukup banyak untuk aku menampung perbelanjaan hingga ke hujung bulan sebagai seorang pelajar.

"Duit tu bukan hak baba. Tadi masa baba pergi surau, ada kawan sumbangkan. Dia memang sebut nama kamu. Kamu kenalkan Pak cik Zaki?" Sebut sahaja nama itu, memang dia dikenali orang kampung kerana sikapnya yg pemurah.

"Kenal.. tapi kenapa dia bagi kakak?" Musykil.

"Dia kata, tiba-tiba teringat kamu masih belajar. Baba tambahkan sikit tadi duit belanja kamu. Rezeki ni daripada Allah, bersangka baiklah pada Allah ye kakak.." Aku sangat terharu. Tidak terluah dengan segala ucapan kata.

Peristiwa semalam bagai menari-nari dalam bayangan. Satu persatu. Detik demi detik. Saat payah memperjuangkan nikmat syukur dan tawakal.

Allahuakbar. SubhanAllah. Alhamdulillah. Sujud syukur. Allah memberi uji, tanda peduli. Disaat diri sangat memerlukan, Allah titipkan rezeki yg tak terduga. Kita memberi sedikit, Allah gantikannya dengan rezeki yg lain. Malah terlalu banyak nikmatNya yg kita alpa untuk syukuri.

Insan yg memandang ia dengan mata hati, moga menjadi tingkatan iman diri. Jangan pernah penat untuk memberi..

*** 

TAMAT 

Inspirasi cerita pendek ini daripada seorang Murabbiyah, yg sentiasa mengingatkan kepergantungan anak didiknya ini kepada Ilahi. Sekuat manakah hubungan kita dengan Allah? 

Hinggakan setiap inci kehidupan, kita serahkan bulat-bulat, sepenuhnya di tangan Allah. Tak gentar, tak ragu dan berburuk sangka dengan percaturan Ilahi. Tidak lelah dia memesan, hidup biar memberi sebanyaknya, kelak hingga tidak dapat diingati segala pemberian itu pernah menjadi satu amal kebaikan. 

Penuhilah segala keperluan-keperluan masyarakat! Turunlah ke medan lapangan, bermasyarakat untuk lebih kenal makna kehidupan. 

Saat nikmat kekuatan langkah, hayunan tangan, ketajaman mata, kepekaan pendengaraan Allah tarik satu persatu, tiada gunanya menyesali diri. 

Jangan pernah penat meniti lorong ini, kerana titian matlamat mardhatillah dirasai dengan roh, bukan hanya jasad. Syukran lillah. Jazakumullah khairan kathir, sahabat2 seperjuangan!

No comments:

Post a Comment