Carian

Apa yang ada?

Jun 30, 2013

Oh Kasut But!




Hana terkejar-kejar masuk ke dalam kereta abangnya. Mereka harus segera mengambil anak saudara mereka yang sepatutnya pulang dari tadika setengah jam lalu. Itulah, mereka leka sangat menonton perlawanan bola.
"Cepatlah abang! menangis karang budak tu." gelabah.

"Hana lah ni, tak cakap awal-awal. Dahlah kaki abang ni luka lagi, mana boleh bawak kereta laju-laju." rengus Hadi. Oh! aku lupa pulak abang aku baru kemalangan dua hari lepas. aduhaii..

Setibanya mereka di tadika anak saudara mereka, lega rasanya kerana masih ada kanak-kanak yang belum pulang. Mereka masih bermain-main dengan beberapa orang ustaz dan ustazah.

"Tunggu apa lagi ni? pergilah ambil budak tu." arah abang Hadi. Aku melongo.

"Kenapa Hana pulak kena ambil? Abang kan lelaki.." 

"Please adik.. kaki abang sakit sangat ni. Tadi pun adik suruh abang bawak laju-laju. Sakit tau." pujuknya dengan muka kesian. 

Aku merengus tidak puas hati. Aku meneliti semula penampilan diri. Bertudung Arini saiz XXL yang sememangnya labuh, berbaju t-shirt muslimah paras lutut, berseluar slack, berkasut sandal dan....

"Argh! Hana tak pakai stokin!" Hana menjerit panik. Mana boleh macam ni! Aku tak pernah keluar rumah sesuka hati tanpa stokin. Pakai tudung Arini pun dah lain macam. Selalunya aku memakai tudung labuh bulat. Tapi sekarang ni..?
"Laa.. kenapa tadi tak pakai stokin? tudung tu dah okey, tapi tang stokin tu tak boleh bertolak ansur." abang Hadi mengeluh. 

“Abanglah yang turun. Sofea tak nampak kita tu. Hana mana boleh keluar dengan tak pakai stoking, tudung macam ni.” penjelasanku hanya di sambut oleh angin lalu.

Lama kami terdiam. Tiba-tiba abang Hadi mengambil sesuatu di tempat duduk belakang.

"Haa.. ini boleh tolong adik.." depan mata aku sekarang ni, ada sebuah kasut. Kasut but..?!

"What?! abang nak suruh Hana pakai kasut ni ke?" aku terjerit kecil. Ini bukannya lawak.

"Hana nak keluar dengan aurat yang tak di tutup sempurna atau dengan kasut but ni?" mak aii.. Dia suruh aku buat keputusan apa ni? Saja je!

"Abang jangan main-main. Kasut abang ni lima kali ganda besarnya daripada kaki Hana!" aku membentak. Muka dah macam nak nangis ni. Yelah, kaki aku ni dahlah comel je.

Abang Hadi buat muka kesian. "Please Hana, adik yang solehah. Tak kesian tengok kaki abang ke? Jangan risau, Hana lah adik yang paling solehah menutup aurat walaupun dengan kasut but ni. Please?" pujuknya. Sedar tak sedar, hampir setengah jam kami berbalah dalam kereta tu. Huhuhu.

Akhirnya.. aku ambil kasut but tu dan sarungkan menutupi kakiku yang tidak berstokin. Dengan lafaz bismillah, aku turun daripada kereta.

Dari jauh aku lihat semua ustazah dan ustaz memandang aneh ke arah aku. Ya Allah!

"Hahaha. Mak Usu, kenapa kasut tu kecik sangat?" Sofea, anak saudara aku ni bertuah menegur.
Aku hanya mampu tersenyum kepada para pendidik di situ. Apabila kami masuk ke dalam kereta, Sofea masih tidak henti ketawa.

"Pak Uda, kasut Mak Usu lawaklah. Besar sangat. Jalan pun macam kura-kura. Hahahaha.." sukanya dia!
Disebabkan tidak dapat mengawal perasaan, akhirnya aku menangis semahunya di tempat duduk sebelah pemandu.

"Sofea, tak baik buat Mak Usu macam ni. Walaupun Mak Usu pakai kasut besar macam ni, tetap comel kan? Cepat minta maaf." arah abang Hadi.

"Sorry Mak Usu... Tak apa, Mak Usu tetap comel pakai kasut tu. Betul! Sofi tak tipu!" pujuk Sofea. Dia mencium pipi aku yang dah basah dek air mata ni. Aku memeluk erat anak kecil itu.

Sebenarnya, aku bukanlah menangis kerana memarahinya. Aku cuma terkejut dengan situasi ini. Mana pernah aku, Hana Damia yang selama ini bertudung labuh bulat dan sentiasa tidak lupa untuk memastikan aku berstokin serta bersarung lengan tiba-tiba tidak memakainya. Sudah tu kena pulak pakai kasut but ni. Aduhai!

"Dahlah tu Hana. Tak berdosa pun pakai kasut but ni. Memang nampak pelik dan orang tak buat macam ni. Tapi demi menutup aurat, Hana sanggup ketepikan rasa malu. Demi syariat! SubhanAllah.. abang kagum dengan Hana. Islam itu datang dengan cara asing, maka ia akan kembali dengan cara asing. Biarkan orang menghina pakaian dan imej Hana, tapi Hana penyumbang saham akhirat abang. Hana berpakaian macam ni, Hana selamatkan abang daripada dipersoalkan tentang aurat adik abang yang solehah ni kelak. InsyaAllah.."

Kata-kata abang Hadi membuatkan air mata aku tidak henti mengalir.

"Selama ni abang bawak Hana pergi shopping mall, lepak dekat UpTown teman abang, abang tak pernah rasa malu 
walaupun Hana berkeras tak nak ikut dengan imej Hana yang menutup aurat ni. Berjuta mata memandang aneh. Apa ni, perempuan pakai jubah bertudung labuh keluar pergi UpTown, Setia City Mall bagai? Tapi sesungguhnya abang, Ashraf Hadi bangga ada adik yang orang kata kolot sekalipun dia pakai sarung guni menutupi dadanya, baju besar gajah menutupi tubuhnya, kasut but sarung kakinya. Terima kasih Hana sebab tak bagi abang saham dosa. Hana tetap adik yang comel dengan kasut but mahupun sarung guni." Sambungnya.

Luahan hati abang Hadi yang julung-julung kali dikatakan kepada aku itu membuatkan aku terus menangis dan menangis sambil ketawa.

'Syukur kepada Allah sebab mengurniakan aku pembela yang cukup kuat mengajar aku erti tarbiyah. Hana Damia, selepas ini oraklah langkahmu dengan mujahadah bersama-sama aset kebanggaan, sarung guni mahupun kasut but..' bisikku syahdu. Oh kasut but yang comel dan besar, terima kasih.. Kau saksiku kelak!

No comments:

Post a Comment