Carian

Apa yang ada?

Dec 26, 2015

Kerana Ketaatan




“Mak, kakak nak sambung belajar boleh? Lepas kerja ni, kakak nak mohon belajar. Kakak rindu sangat nak belajar macam biasa..” Senyum meminta keizinan juga pendapat.

“Tak payahlah kak, jauh dengan mak nanti lagi macam-macam.”

“Mana ada, kakak okey je mak. InsyaAllah kakak kuat jaga diri..” Walau hakikatnya, bagaimana mahu aku sembunyikan semua ini daripada pengamatan mak? Sedangkan 24jam aku berada dekat dengannya.

Mak diam sesaat sambil menunjukkan wajah yang sukar ditafsir.

“Duduk dekat rumah jelah, kalau sakit senang semua tahu. Hari-hari kan boleh keluar, belajar agama dekat surau, masjid.” 

Tergelak hambar. Payau liur yang ditelan. Jujurnya, hati bagai tersentap mendengar jawapan mak. 

“Hari-hari keluar tu lain mak. Kakak bukan belajar sebab kedudukan sampai PHD ke, cuma kakak memang minat sangat belajar. Nak dalami ilmu.. Boleh ye mak?”

Mak menggelengkan kepala. “Tak payah ye?”

Mak berlalu. Tanda tidak mahu meneruskan perbincangan ini.

Allahuakbar. SubhanAllah.

Allah.. kesekian kali pujukan ini tidak berhasil. Berkali-kali aku usulkan, berat lagi mak mahu izinkan. Tunduk bermuhasabah.

Tuhan, benarkah begini aturan yang sudah Kau tetapkan? Setelah Kau ajarkan aku keperitan ini, memang inikah hikmah yang Kau mahu ku tempuhi?

Kadangkala aku rasa terlalu marah, tetapi tidak jelas marah ini untuk apa dan siapa. 

Kadangkala aku rasa terlalu sedih, tetapi tidak jelas tangisan ini apa perlunya.

Mungkin aku sedih kerana ada waktunya aku tak mampu terlihat tabah. Aku marahkan pelaku yang menjadikan aku kehilangan diri sendiri. Tetapi cepat aku sedar takdir ini dari pencipta si pelaku. Perancangan Dia..

Tak mampu untuk aku luahkan, andai ini tanda aku tidak redha dengan ujianNya yang sedikit.


Ummi selalu pujuk, “Dalam ramai-ramai anak yang pandai dan belajar sampai tinggi-tinggi, mesti ada sorang yang Allah tak izinkan dia jauh dari mak ayah. Bukan tak bagi pendidikan lebih, tapi sebab tanggungjawab dan ketaatan dia pada mak ayah. Kalau semua nak belajar jauh-jauh, siapa yang nak duduk dengan mak ayah bila diorang dah tua?”

Memang benar, semua yang dikatakan ummi itu tiada yang salah. Melihat perkembangan kakak-kakak dan abang dalam soal pendidikan, membuat jiwa ini makin terperuk. Jujur aku cemburu. Impianku mahukan langkah gigih persis mereka. Sukar dibendung keinginan ini. Tetapi lupakah aku, perancangan aku hanya dibatasi kemampuan yang sedikit. Allah tak izinkan semua itu bertahan lama.. Dia punya hak yang agung..

Ya Robbul Izzah.. kuatkan aku dengan kenyataan ini. Tampar aku dengan hakikat ini. Aku sedang mendepani realiti, bukan lagi fantasi. Jika benar ini jalanMu, pupuklah redha dan taat dalam diriku. Kerana ketaatan buat mak abah, bukti ketaatan padaMu ya Robb. Izinkan aku persembahkannya buat mak abah hingga akhir hayat ini ya Allah.

Dan Kau izinkanlah aku untuk bertahan lebih lama lagi....

No comments:

Post a Comment