Carian

Apa yang ada?

Aug 16, 2015

Doa Yang Dulu :')

Dulu..

Seksa aku tengok mak selalu tak sihat. Batuk, sakit-sakit badan, segala jenis rasa yang mak tanggung. Bulan lepas, genap setahun. Alhamdulillah, mak makin sihat.

Dulu..

Bila aku tengok mak macam tu, ada pengharapan yang aku pinta sungguh-sungguh untuk Allah beri perhatian.

Aku pinta, Allah bebankan rasa tu, untuk aku seorang yang tanggung. Bukan mak.

Allahurobbi! Allah yang Maha Mendengar tiap doa dan permintaan hamba. Mak beransur sihat. Allah berikan nikmat kesakitan itu untuk aku rasai. Bahkan lebih perit. Satu persatu, peringkat demi peringkat. Aku tempuhinya dengan pelbagai reaksi diri.

Perasaan ini.. sukar untuk dirungkai apa rasanya. Kadangkala aku seolah tiada jiwa, menangisi takdir tanpa ingat akan Ilahi. Lumrah manusia saat teruji.

Terkadang.. aku seolah disuntik semangat jihad. Segala perit ini aku lawan dengan tingginya rasa syukur pada Allah. Syukur kerana aku insan terpilih, merasa terhapusnya dosa-dosa di usia ini.

Duniaku kini.. berbeza sungguh dengan yang dulu. Aku harus kuat. Mendepani semua ini dengan tabah.

Sosok tubuh yang gagah dulu, yang sering terkehadapan, makin terperuk jauh. Terkurung. Suara lantang yang dulu, makin senyap dan berdiam. Hanya tulisan menjadi perantara bahasa.

Sifat yang penuh ketegasan dulu, kini hanya mampu tersenyum mendengar segala cerita dari teman-teman. Tak mampu lagi berkongsi buah fikiran dan semangat yang jitu.

Wahai insan yang pernah aku sakiti,

Mohon ampun atas segala dosa yang nyata mahupun tidak. Entah aku sedar ataupun tidak.

Mungkin kesombongan ini yang menjadi bahan benci. Maaf yang tak terucap lagi.

Allah Kekasihku..

Adakah bahana ketegasan, menjerut jiwa dan jasad sendiri?

Adakah Kau tidak mahu aku lagi dalam dunia dakwah ini?

Adakah ini waktu rehat buatku?

Aku pinta ya Allah, jangan berikan kerehatan yang lama buatku.

 Aku takut.. aku akan terus selesa dengan dunia ini. ‘Rehat’ yang melekakan..

Maafkan hambaMu yang penuh alpa ini Kekasihku..

Aku malu.. saat Kau kabulkan doa yang dulu, aku pinta Kau ambil semula rasa itu.

Padahal dahulu sungguh-sungguh aku meminta.

Dimanakah erti syukur, andai tak dimaknai?

Tunduk. Istighfar. Muhasabah. Taubat.

Ku terima semua keputusanMu, Ilahi..

No comments:

Post a Comment