Carian

Apa yang ada?

Oct 5, 2013

Aku Yang Leka



Waktu itu..
Pertemuan seolah menghenti masa
Membisik diri ke arah damba rasa
Pada panahan durjana dunia
Kerana pada aku, tidak salah mencuba

Dia..
Hadir sekejapan membuka misteri diri
Huluran cinta bertaut tanpa kusedari
Rupanya aku yang tidak pernah merasai
Fana cinta duniawi ini
Hingga tidak kenal pada Ilahi

Tinta kita..
Metafora hatimu terlakar syahdu
Menenggelamkan aku pada khayalan palsu
Karam dan terus berkasih tanpa sendu
Terpatrinya janji nista kerna kau yang satu

Aku alpa..
Tika nusrahMu menyapa
Sesak dada menebak rahsia
Belang si dia terbuka seluasnya
Rupanya aku yang terleka!
Sebenarnya yang kucari bukan dia
Ahh.. Itu semua permainan dunia

Kini..
Kesal melata mengenang silam
Khuatir aku hanyut tenggelam
Aku anggap bagai tiada lagi semalam
Berharap hari esok bukannya kelam
Kerana aku kan ada Dia Tuhan seluruh alam

Maaf..
Cinta palsumu tak lagi ku terima
Aku tidak mahukan yang dusta
Silamku melambai membawa duka
Tika aku tidak lagi bersedia
Cukuplah hanya Dia
Ku ulangi, biarlah hanya Dia..

Andai..
Ada yang berani menyapa
Pada redha Ibu dan Bapa
InsyaAllah.. dia pendamping yang ku sapa
Tetapi istikharah ini milik siapa?
Kerana mimpiku tidak lagi berupa

Langkah..
Kuatur menggapai redhaNya
Saat terbuka segala hikmah palsu dunia
Manik jernih tumpah mengenang dosa
Tersedar pada dakapan hakikat cinta
Kau abadi sebagai Pencipta

Fitrah..
Manusia gemar membajai dosa
Tetapi tidak bermakna diri penuh noda
Ilahi.. sambutlah hambaMu yang hina
Kerana Kau Yang Maha Menerima
Kala taubat bergema menggetar sukma

Cukuplah..
Hanya si dia yang menyapa seketika
Tiada yang kedua mahupun ketiga
Aku tidak lagi dalam dunia gila
Yakin aku memanah cintaNya
Kerana pemilik cinta ini.. hanya Dia!

*Garapan daripada luahan seorang teman. Remember that, everyone deserve a future.. biiznillah :)

No comments:

Post a Comment